NSWD tangani jurang data gangguan seksual untuk perangi budaya rogol
Iklan
PAKATAN National School Walkout Day (NSWD) merancang menangani jurang data mengenai isu keselamatan di institusi pendidikan susulan protes dalam talian di seluruh negara terhadap gangguan seksual di sekolah.
Gabungan beberapa badan bukan kerajaan itu yang memperjuangkan keselamatan bagi pelajar daripada gangguan seksual memutuskan ini adalah langkah seterusnya selepas mengadakan “walkout” dalam talian pada 6 dan 7 Mei.
“Kami akan mengadakan perbincangan dengan lebih banyak pihak berkepentingan mengenai keselamatan sekolah dan kumpulan hak kanak-kanak untuk mengatasi jurang data berhubung isu keselamatan sekolah yang relevan.
“Kami akan mulai dengan data diperoleh dan jaringan dibentuk melalui kempen,” kata jurucakap NSWD Firzana Redzuan berhubung pengalaman gangguan seksual dialami pelajar di sekolah.
Beliau berkata pernah mendedahkan beberapa masalah sistem yang timbul di sekolah melalui perdebatan, ironinya oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) itu sendiri.
Sehari sebelum “walkout”, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock meminta statistik ketika ditanya semasa wawancara TV sama ada gangguan seksual berlaku di sekolah.
“Bagaimana ia menjadi masalah yang meluas? Mana statistiknya? Di mana data? Siapa yang mereka perkatakan? Berapa banyak sekolah yang terbabit?” katanya dalam wawancara dengan Astro Awani.
“Kita memiliki 450,000 guru di negara ini, kita ada 10,000 sekolah. Berapa banyak sekolah yang mereka perkatakan? Beri saya fakta,” kata Tan.
Respons daripada Tan mengundang kemarahan daripada orang ramai termasuk bekas pelajarnya.
Beliau kemudian meminta maaf kerana kenyataan tidak sensitifnya ketika memberikan ulasan tetapi berkata ingin menegaskan yang “majoriti 450,000 guru di negara ini adalah pendidik yang berdedikasi, bekerja keras, dan penyayang.”
Memberi kesedaran
Firzana berkata kumpulan NSWD sedar risiko sangat tinggi bagi penjawat awam untuk bersuara dan menyokong kempen tersebut secara terbuka.
Bagaimanapun, tambahnya mereka teruja melihat beberapa sekolah, guru, dan kumpulan pelajar menggunakan tunjuk perasaan dalam talian dua hari bagi mengadakan perbincangan mengenai isu rogol, gangguan seksual dan lain-lain melibatkan pelajar.
Antaranya, kata Firzana, adalah seorang guru di sekolah menengah lelaki yang membuat rancangan pelajarannya sepanjang minggu untuk membincangkan isu rogol dan gangguan seksual dengan poster dihasilkan oleh pelajar.
Throughout this week, I’ve redesigned my lesson plan for my students by addressing rape culture & sexual harassment in schools.
They learned fundamental issues on rape & sexual harassment, and how its happening in schools & in our surrounding community.#MakeSchoolASaferPlace pic.twitter.com/fpmnVUtDvp— Stephen Isaac (@Stephen_Isaac07) May 7, 2021
Kempen “walkout” NSWD dibuat susulan pendedahan pemeriksaan kedatangan haid terhadap pelajar perempuan di beberapa sekolah, dan oleh seorang pelajar berusia 17 tahun yang mengenai jenaya rogol dibuat oleh guru lelaki mata pelajaran pendidikan jasmani di kelas.
Sejak pendedahan bulan lalu, banyak kisah peribadi gangguan seksual oleh mangsa menjadi sohor kini di platform media sosial dengan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace.
Protes juga menimbulkan kontroversi berhubung gesaannya memboikot sekolah atau kelas sepanjang hari, tetapi penganjur kempen memberi pelajar pelbagai cara untuk memprotes bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan pelajaran.
Sebilangan pelajar memboikot sekolah selama sehari penuh dengan persetujuan ibu bapa atau meninggalkan satu pelajaran.
Mereka yang mengikuti kelas memakai reben putih dengan coretan merah - simbol kempen yang diilhamkan oleh pemeriksaan kedatang haid.
Ada juga menggunakan latar belakang digital atau memegang plakat fizikal dengan hashtag #MakeSchoolASaferPlace di skrin semasa kelas dalam talian.
Pelajar sekolah menengah dan universiti, kumpulan belia dan orang ramai juga berkongsi di media sosial gambar dan video karya seni mereka, plakad dan memakai reben sebagai menyokong kempen tersebut.
Hashtag lain yang digunakan di media sosial adalah #StandWithAin, merujuk kepada Ain Husniza Saiful Nizam, pelajar yang mendedahkan jenaka rogol dibuat guru lelakinya.
Remaja yang berani bersuara itu menerima kecaman di media sosial oleh beberapa orang dewasa yang menuduhnya menimbulkan masalah, dan menerima surat amaran daripada pihak sekolah kerana tidak hadir kelas. Ayahnya berkata Ain Husniza tidak ke sekolah kerana berasa tidak selamat. – 12 Mei, 2021.
Berita penuh di sini