Lokman Adam disiasat kerana pertikai PKP, kata polis
Iklan
PRESIDEN Laskar Siber Malaysia Lokman Noor Adam disiasat kerana membuat kenyataan yang mempertikaikan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata Lokman ditahan reman kerana rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
“Dia ditahan selama sehari mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat berkenaan video klip yang dia buat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lokman dipercayai membuat kenyataan itu beberapa jam selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara berkuat kuasa sehingga 7 Jun ini pada Isnin lepas.
Dalam kenyataannya, Lokman antara lain mendakwa PKP ketiga ini membuang masa dan seeloknya perdana menteri ditukar kepada seorang yang lebih serius mahu membendung pandemik.
Beliau juga mendakwa Muhyiddin bergantung kepada Covid-19 untuk kekal berkuasa.
Ini adalah kali kedua Lokman ditahan mengikut ordinan darurat yang mengawal penyebaran berita palsu berhubung penularan Covid-19.
Sebulan lalu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu ditahan mengikut ordinan darurat yang sama kerana mendakwa seorang pegawai polis meninggal dunia kerana mengambil vaksin Covid-19.
Pegawai polis berkenaan sebenarnya disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung. – 12 Mei, 2021.