Polis buka siasatan kes bakar mercun di Bandar Baru Sentul
Iklan
POLIS membuka siasatan berhubung kejadian anggotanya dilontar dengan mercun ketika menyuraikan sekumpulan penduduk yang ghairah bermain mercun sehingga selepas tengah malam di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah serta Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil kerana melanggar larangan membakar bunga api.
“Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 malam itu, sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika menyuraikan kira-kira 200 individu yang berkumpul di kawasan pangsapuri itu,” katanya.
Beh menjelaskan pasukan anggota polis itu pergi ke tempat kejadian selepas menerima maklumat ada orang membakar mercun secara terbuka sehingga selepas tengah malam, ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Sebaik tiba, kami mendapati kira-kira 200 individu dipercayai penduduk pangsapuri berkenaan berkumpul di kawasan tempat letak kereta dan sedang bermain mercun,” tambahnya.
Keadaan tegang apabila penduduk menyedari kehadiran polis apabila mereka terus membakar mercun, katanya.
Mereka malah tidak mengendahkan amaran oleh pihak polis, kata Beh.
“Semasa pihak polis sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir mengenai polis yang sedang bertugas di lokasi kejadian.
“Letupan terbabit dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar kepada polis. Selepas letupan itu berlaku, orang ramai kemudian segera beredar dari kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut Beh, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihak polis dapat mengawal keadaan di lokasi kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan,” katanya. – 13 Mei, 2021.