Kenapa anak muda sertai kumpulan militan
Iklan
FEBRI Ramdani baru berusia 22 tahun ketika meninggalkan Indonesia ke Syria pada 2016 untuk bertemu keluarganya di sana, selepas dijanjikan kehidupan lebih baik di bawah militan Islam Negara Islam di Iraq dan Syam (Isil).
Ahli keluarganya yang pergi setahun lebih awal daripadanya, menjual rumah, kereta, dan semua aset dimiliki dalam jangka masa sebulan.
Mereka tidak berniat menjadi pejuang militan, tetapi tertarik dengan tawaran kehidupan yang damai dan lebih teratur di negara berkebajikan di bawah pemerintahan Islam.
Sebaik saja tiba, segala impian hancur, kata Febri kepada The Malaysian Insight. Namun, beliau tetap menyertai keluarganya pada tahun berikutnya, kerana terlalu merindui mereka dan ingin bersatu kembali.
“Apa yang jelas, mereka tidak memperlakukan sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka secara adil. Mereka sentiasa berasa diri betul. Sesiapa tidak mempunyai fahaman yang sama akan dipulaukan, diganggu, atau bahkan dibunuh,” katanya dalam wawancara melalui telefon.
Setiap hari berlaku tembak menembak dan bom. Beliau turut dipujuk mengikuti latihan ketenteraan Isil tetapi berjaya memberi alasan untuk mengelakkannya.
“Saya bukan datang ke Syria untuk bergabung dengan mereka sebagai pejuang. Saya baru sahaja bersama keluarga,” katanya.
Akhirnya, keluarga Febri meninggalkan Syria pada pertengahan 2017 dengan bantuan seorang kenalan Syria.
Semasa Febri ke Syria dengan khayalan kehidupan lebih baik, terdapat anak muda lain bergabung dengan Isil dengan alasan yang berbeza.
Kebanyakan kes disebabkan ditipu, diperdagangkan, diculik, atau direkrut secara paksa.
Ada juga menyertai kumpulan pengganas secara sukarela kerana tarikan identiti berdasarkan kumpulan; persepsi diketepikan, tidak puas hati, atau ancaman budaya; janji kestabilan ekonomi; prospek kemasyhuran, kemuliaan, atau penghormatan; dan hubungan peribadi, termasuk keluarga dan rangkaian persahabatan.
Di Malaysia, satu kes yang diingati ialah Syamimi Faiqah, bekas pelajar dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Selepas gagal memenuhi syarat gred minimum untuk kursus universiti, Syamimi menghabiskan lebih banyak masa di internet.
Pada 2014, ketika berusia 20 tahun, beliau ke Syria untuk berkahwin dengan Akel Zainal, seorang pejuang militan.
Terdapat kes lain melibatkan remaja perempuan Malaysia yang cuba bergabung dengan Isil kerana cinta, seperti seorang remaja berusia 14 tahun yang pada 2015 ditangkap ketika cuba ke Kaherah, di mana tunangnya yang berusia 22 tahun menanti di sana.
Gadis berkenaan yang belajar di sebuah institusi tahfiz di Shah Alam, tidak mendapat persetujuan keluarganya. Beliau turut mengancam akan membunuh diri jika ibu bapanya tidak membenarkannya pergi.
Pada 2017, seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun ditangkap kerana berjanji setia kepada Isil dan bahkan membuat enam koktail Molotov.
Beliau juga mengenal pasti beberapa rumah ibadat bukan Islam sebagai sasaran berpotensi. Beliau akhirnya ditangkap pada 20 April di Petaling Jaya.
Polis mengetahui mengenai beliau selepas videonya bersumpah setia dan mengancam akan melancarkan serangan ini tular. – 19 Mei, 2021.
Berita penuh di sini