Iklan

Imbasan 3 PKP di Malaysia

Arm force010
Bagaimanapun PKP kali ini tidak seketat PKP kali pertama yang dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu apabila Covid-19 menjadi ancaman kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2021.
Iklan

MALAYSIA mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan ketiga (PKP3.0) di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun sebagai usaha mengekang peningkatan kes harian Covid-19.

Pelaksanaan PKP ini menyaksikan larangan rentas daerah dan negeri serta aktiviti ziarah dan melawat kubur sempena Aidilfitri.

Bagaimanapun PKP kali ini tidak seketat PKP kali pertama yang dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu apabila Covid-19 menjadi ancaman kepada negara.

Kali ini hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tetapi aktiviti sosial dilarang sama ada melibatkan sektor swasta dan awam.

The Malaysian Insight mengimbas kembali pelaksanaan dua PKP sebelum ini.

Malaysia mengesan kes pertama Covid-19 pada 25 Januari 2020 melibatkan tiga rakyat China yang memasuki negara ini dari Singapura menerusi Johor.

Gelombang pertama Covid-19 menyaksikan 22 kes dilaporkan di negara ini dengan kesemuanya pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Malaysia kemudiannya memasuki gelombang kedua Covid-19 pada 27 Februari dengan kes mulai meningkat.

Kali ini penularan tempatan berlaku ekoran majlis keagamaan di Masjid Sri Petaling di Selangor yang digelar sebagai Kluster Tabligh.

Dianggarkan lebih 16,000 orang hadir ke majlis yang bermula 27 Februari hingga 1 Mac 2020.

Setelah gagal mengawal peningkatan kes, kebanyakan negara mula mengenakan perintah berkurung dan Malaysia juga tidak berkecuali.

Orang ramai melepak di kawasan pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur ketika sambutan Aidilfitri. Negara pada masa ini dikenakan PKP kali ketiga dari 12 Mei hingga 7 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

PKP pertama

Pada 16 Mac tahun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan negara akan diletakkan di bawah PKP bermula 18 Mac hingg 31 Mac dengan hanya sektor penting saja dibenarkan beroperasi.

Pada hari pengumuman itu, kes keseluruhan 533 dengan 511 daripadanya kes aktif.

Hari berikutnya (17 Mac), Malaysia mencatatkan dua kematian pertama akibat wabak itu dengan melibatkan seorang pastor di Kuching, Sarawak dan seorang lagi hadirin majlis tabligh di Sri Petaling.

Pada hari pertama PKP, Malaysia merekodkan 117 kes baharu dan satu kematian, menjadikan 790 kes keseluruhan dan 3 kematian.

Kerajaan kemudiannya melanjutkan PKP sebanyak tiga kali sebelum tempoh lanjutan terakhir pada 29 April hingga 12 Mei 2020.

Semasa tempoh PKP ini, kes paling tinggi direkodkan pada 26 Mac dengan 256 kes jangkitan dan tujuh kematian dilaporkan pada 29 Mac.

Ekoran pelaksanaan PKP yang ketat, Malaysia berjaya mengawal penularan kes bermula 17 April (kecuali 2 dan 3 Mei) dengan kes harian hanya dua digit saja.

Ini menyebabkan kerajaan memendekkan tempoh PKP dan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei.

Semasa tempoh PKP antara 18 Mac hingga 3 Mei, sebanyak 5,625 kes positif Covid-19 dikesan dan 103 kematian dicatatkan.

Kes keseluruhan sebanyak 6,298 dengan 1,794 daripadanya kes aktif.

Dalam tempoh ini, Selangor berada dalam senarai paling tinggi kes jangkitan sebanyak 1,529 disusuli Kuala Lumpur (1,308) dan Johor (667).

 Dalam tempoh PKPB yang berlangsung hanya lebih sebulan sehingga 9 Jun, kes penularan tempatan harian boleh dikatakan hanya dua digit.

Malah kes harian turun sehingga satu digit (tujuh kes pada 8 dan 9 Jun).

Hanya sekali kes melebih 200 iaitu pada 4 Jun apabila 277 kes dilaporkan dengan melibatkan tahanan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Sebanyak 2,038 kes Covid-19 dan 12 kematian direkodkan sepanjang tempoh PKPB.

Ketika itu kes keseluruhan sebanyak  8,336 dengan 117 kematian.

Kuala Lumpur menjadi lokasi paling tinggi bagi kes keseluruhan dengan 2,398 kes, diikuti Selangor (1,971) dan Johor  (676).

Pada 7 Jun, Muhyiddin mengumumkan penamatan PKPB dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara. – 16 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan