Tingkat kualiti PdPR, gesa persatuan ibu bapa
Iklan
GOLONGAN ibu bapa mempersoalkan kemampuan guru untuk melaksanakan sesi pembelajaran dalam talian (PdPR) selepas mereka melihat kelemahan kaedah itu sebelum ini.
Mereka menyuarakan kebimbangan tentang keberkesanan dan kelemahan PdPR seperti akses yang tidak menyeluruh bagi pertumbuhan pembelajaran pelajar, tempoh dan sesi tidak produktif serta tidak mengatasi isu akses Internet bagi golongan miskin.
Sesi sekolah akan bersambung secara PdPR selama dua minggu bermula 16 Mei hingga 27 Mei bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakal bagi Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan bermula dari 17 Mei hingga 28 Mei.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahimberkata pelajar masih kurang mendapat bimbingan daripada guru.
“Ada pelajar masih tidak tahu Didik TV. Tidak semua guru mempromosikan sepenuhnya TV pendidikan itu,” kata Noor Azimah kepada The Malaysian Insight.
“Amat penting bagi bagi guru membimbing pelajar mereka memilih program untuk ditontoni.
“Guru perlu membimbing sesi pembelajaran dalam talian dan tidak membiarkan pelajar belajar sendiri.”
Beliau berkata Kementerian Pendidikan mengambil salah langkah kerana tidak mahu memendekkan cuti sekolah dan menggantikan kelas pembelajaran.
Katanya ibu bapa bukan saja bergelut untuk membantu pendidikan anak mereka tetapi perlu bekerja dan menyediakan makanan.
“Selepas cuti Hari Raya dan selepas 10 hari PdPR, pelajar akan cuti pertengahan tahun lagi.”
Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata langkah melanjutkan PdPR akan mengekang penularan Covid-19 di sekolah selepas cuti perayaan.
Kementerian Kesihatan sebelum ini berkata sekolah mempunyai 83 kluster melibatkan 4,868 kes di sektor pendidikan selepas sesi pembelajaran kelas secara fizikal bermula 1 Januari hingg 20 April. – 16 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.