Iklan

520 pesakit Covid-19 di ICU, kata KP Kesihatan

Ragananthini Vethasalam3 years ago16th May 2021Berita
50535453763 87d70542b7 b (3)
Jumlah kes Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencapai tahap tertinggi sepanjang hari ini dengan 520 pesakit ditempatkan di pelbagai hospital di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.
Iklan

JUMLAH kes Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencapai tahap tertinggi sepanjang hari ini dengan 520 pesakit ditempatkan di pelbagai hospital di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 520 pesakit, 272 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Malaysia hari ini juga mencatatkan 3,780 kes baharu dengan 36 kematian.

Hospital awam dan swasta memberi amaran bahawa negara ini kekurangan ICU dan katil bagi merawat pesakit Covid-19 apabila jumlah kes meningkat.

Dr Noor Hisham semalam berkata kadar penggunaan katil ICU di seluruh negara mencapai 80%.

Pada masa ini terdapat 1,388 katil ICU bagi menampung pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 di 78 hospital kerajaan serta hospital pengajar.

“Walaupun kita selalu menambah jumlah katil ICU untuk pesakit Covid-19, dukacita dimaklumkan penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di seluruh negara sudah mencecah 80%,” katanya di Facebook.

“Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah dan Perak sudah melebihi kadar 80% dan ada hospital di mana katil ICU sudah digunakan sepenuhnya,” katanya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini berkata kepada The Malaysian Insight bahawa kerajaan sedang berusaha meningkatkan kapasiti di ICU, alat bantuan pernafasan dan perkhidmatan ambulans apabila sistem kesihatan berada di bawah tekanan dengan meningkatnya kes Covid-19. – 16 Mei, 2021.


 

Iklan
Iklan