Iklan

Bekalan tidak cukup, hospital swasta tangguh program vaksin, kata persatuan

Ragananthini Vethasalam3 years ago17th May 2021Berita
Vaccination covid-19 20210516 tmihasnoor 013
APHM sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu Putrajaya dalam usaha imunisasi dan boleh digerakkan dengan cepat untuk menyempurkan usaha kerajaan dalam memastikan seluruh penduduk diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Mei, 2021.
Iklan

HOSPITAL swasta tidak akan menjalankan program vaksinasi sendiri dalam tempoh terdekat kerana bekalan vaksin yang tidak mencukupi, kata Dr Kuljit Singh.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) itu berkata syarikat pengeluar kini mengutamakan bekalan untuk klien daripada kerajaan.

“Kita telah mencuba. Kita telah tanya kepada syarikat pengeluar tetapi mereka berkata kami perlu melalui kerajaan,” kata Dr Kuljit kepada The Malaysian Insight.

“Kita tidak boleh mendapatkannya secara terus daripada syarikat pengeluar kerana ada perjanjian persefahaman antara mereka dan kerajaan.

“Kerajaan masih menjadi keutamaan buat masa ini. Apabila kerajaan mendapat bekalan yang cukup, mereka akan membuat keputusan sama ada memberi bekalan vaksin kepada pengamal swasta.”

Dr Kuljit berkata bukan kerajaan Malaysia sahaja diberi keutamaan tetapi ia melibatkan kerajaan di seluruh dunia.

Katanya hospital swasta cuba mendapatkan bekalan daripada syarikat yang sama membekalkan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ia termasuk Pfizer Inc, AstraZeneca dan Sinovac yang hanya mempunyai bekalan mencukupi untuk klien daripada kerajaan.

Hospital swasta juga cuba mendapatkan vaksin yang masih belum mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Dr Kuljit berkata ia akan memakan masa yang lebih lama kerana vaksin perlu didaftarkan dan diluluskan NPRA terlebih dahulu sebelum digunakan di Malaysia.

“Kita masih perlu menunggu kerana kerajaan sendiri belum memiliki bekalan vaksin yang mencukupi,” katanya.

Dr Kuljit berkata APHM telah memaklumkan Putrajaya tentang perkembangan ini.

“Putrajaya sedar tentang isu ini dan kami juga memahami isu yang dihadapi mereka.

“Kami hanya perlu bersabar dan berharap ia akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.

APHM sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu Putrajaya dalam usaha imunisasi dan boleh digerakkan dengan cepat untuk menyempurkan usaha kerajaan dalam memastikan seluruh penduduk diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok.

Kata mereka Putrajaya perlu membenarkan ahlinya membeli bekalan vaksin Covid-19 dan menguruskannya sendiri.

“Kami sanggup mendapatkan vaksin daripada belbagai sumber selepas ada kelulusan diberikan oleh NPRA.

“Alasan hospital swasta yakin yang beberapa bantuan perlu diberikan kepada kerajaan kerana program semasa dalam tiga tahap, yang dijangka berakhir pada Februari 2022, ia sangat lama dan tidak dapat diterima,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Mac lalu.

APHM juga mencadangkan agar sektor swasta boleh menyumbangkan surcaj daripada setiap pesakit yang diberi vaksin di sektor swasta kepada tabung kerajaan bagi menjalankan program vaksinasi awam percuma.

“Kami berharap kerajaan tidak mengabaikan rayuan hospital swasta kerana motif kami bukan untuk mendapatkan keuntungan tetapi bagi membantu sebagai rakan kongsi dengan kerajaan. Terdapat permintaan besar daripada orang ramai untuk segera menyelesaikannya.”

Dr Kuljit berkata perkara itu sudah dipanjangkan kepada Putrajaya.

“Putrajaya maklum mengenainya dan kami juga faham dengan masalah yang mereka hadapi. Kami perlu bersabar sedikit lagi,” katanya.

Mac lalu, APHM berkata Putrajaya perlu membenarkan ahlinya membeli bekalan vaksin Covid-19 dan menguruskannya sendiri, untuk menyempurkan usaha kerajaan dalam memastikan seluruh penduduk diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok.

Gesaan itu susulan program imunisasi kebangsaan Covid-19 mendapat kritikan kerana bergerak perlahan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin beru-baru ini berkata pelaksanaan fasa tiga program itu yang sepatutnya bermula bulan ini akan bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang ada.

Khairy juga menyelar tindakan negara kaya membolot vaksin sehingga menyebabkan negara membangun tidak mendapat bekalan mencukupi.

Fasa 3 program imunisasi Covid-19 membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas, melibatkan 13.7 juta individu.

Setakat semalam, lebih 10 juta orang sudah mendaftar untuk menerima vaksin namun hanya lebih 1.9 juta dos telah diberi.

Putrajaya mensasarkan 80% penduduk menerima suntikan vaksin pada Februari 2022.

Bagi mencapai imuniti kelompok, sekurang-kurangnya 60-70% daripada penduduk, atau kira-kira 20 hingga 23 juta orang, perlu divaksinasi. Paling awal untuk mencapainya adalah menjelang akhir tahun ini. – 17 Mei, 2021.


 

Iklan
Iklan