Katil pesakit Covid-19 hospital swasta sudah penuh, kata persatuan
Iklan
KAPASITI katil Covid-19 dan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital swasta sudah penuh sebelum hospital kerajaan mengalami masalah yang sama, kata Dr Kuljit Singh.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa katil dan ICU di hospital swasta penuh sejak tiga minggu lalu.
“Kita telah memaksimumkan jumlah kemudahan itu sebelum kerajaan berbuat perkara sama,” kata Dr Kuljit.
Beliau berkata hospital swasta di Lembah Klang sudah menampung lebihan kapasiti manakala Pulau Pinang dan Johor juga hampir penuh.
Terdapat 31 hospital swasta di Lembah Klang yang menerima pesakit Covid-19 tetapi jumlah katil yang diperuntukkan untuk kes wabak itu di setiap hospital adalah berdasarkan kapasiti dan keupayaan.
“Kita melakukan lebih daripada kemampuan. Tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk membantu,” kata Dr Kuljit.
Beliau berkata hospital swasta juga saling bekerjasama untuk menampung jumlah pesakit Covid-19.
Katanya walaupun pesakit sedia membayar untuk mendapatkan rawatan tetapi jumlah katil pesakit adalah terhad.
Dr Kuljit berkata hospital swasta kekurangan keupayaan dan kepakaran seperti yang dimiliki hospital kerajaan untuk menguruskan kes Covid-19.
“Ada pasukan yang perlu diasingkan dan anda perlu kepakaran serta semua pasukan perlu tahu peranan masing-masing.
“Kes Covid-19 memerlukan kepakaran dan lokasi rawatan yang sesuai.
“Kita tidak mempunyai pakar dan tenaga kerja untuk menguruskannya seperti dilakukan hospital kerajaan. Itu adalah had kami.” – 17 Mei, 2021.