Henti ganggu pekerja dan pemilik restoran, kata persatuan
Iklan
PENGENDALI makanan dan minuman membidas agensi penguatkuasa kerana menimbulkan ketakutan dan mengganggu pemilik restoran serta pekerja mereka kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ini berikutan insiden yang berlaku ke atas seorang peniaga burger di Bandar Sunway, Selangor Ahad lalu yang mana pemilik premis dan pekerja diancam dengan denda RM25,000 selepas mereka didapati makan di premis sebelum memulakan syif petang.
Jurucakap Malaysian F&B Operators Alliance (MyF&B) Joshua Liew menyifatkan kejadian itu sebagai tidak masuk akal.
“Ianya tidak masuk akal. Kita merupakan salah satu industri yang terkesan ketika PKP 3.0 dan peraturan tidak dibenarkan makan di premis yang kami tanggung adalah pengorbanan kami untuk menurunkan kes Covid-19.
“Tetapi mereka (pihak berkuasa) tidak sepatutnya menyasarkan kami sebegitu,” kata Joshua kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya pemilik dan pekerja restoran perlu tahu hak dan sempadan mereka, dan menambah sekiranya restoran tahu mereka tidak melanggar SOP maka mereka perlu ambil tindakan sepatutnya.
Beliau berkata persatuan akan cuba menghubungi Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan penjelasan berhubung SOP namun katanya beliau tidak yakin MKN akan memberi maklum balas kepada mereka.
Di bawah PKP 3.0, premis makanan hanya dibenarkan beroperasi dengan penghantaran dan bungkus sahaja. Mana-mana pengendali yang melanggar peraturan ini akan dikenakan denda.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada ia turut terpakai kepada pekerja yang bekerja di restoran.
Pengasas dan pengarah urusan MyBurgerLab (MBL) Ren Yi Chin memberitahu The Malaysian Insight pegawai polis yang memeriksa tempatnya semalam dan menahan pekerjanya, melepaskannya dengan amaran.
Chin berkata insiden itu berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam ketika pekerjanya sedang makan.
“Beberapa pegawai polis muncul dan merakam gambarnya, dan kemudian memberitahu pekerja saya bahawa mereka melanggar SOP,” kata Chin.
“Pengurus cawangan saya menunjukkan semua bukti kepada polis bahawa pekerja berkenaan baru ingin memulakan tugas dan tidak memakai uniform kerana syifnya bermula dalam 10 minit selepas itu.
“Namun mereka enggan mendengar penjelasan pengurus saya dan berkata mereka akan membawa pekerja itu ke balai polis dan denda RM25,000 akan dikeluarkan kepada premis dan pekerja,” katanya.
Pekerja berkenaan kemudian dibawa dengan kereta peronda polis namun dihantar semula beberapa minit kemudian ke restoran dan menyatakan dia akan dilepaskan dengan amaran.
Chin berkata apabila pengurus MBL bertanya di mana pekerja boleh makan, pegawai polis terbabit menjawab, “biar bijak, menyorok.”
“Mereka (pihak berkuasa) tidak boleh meminta pekerja saya untuk makan sambil sembunti kerana dia bukan pekerja haram atau melanggar apa-apa peraturan,” katanya.
Chin berkata beliau mahu pihak berkuasa memberi peluang kepada pemilik perniagaan untuk menjelaskan dan mempertahankan diri mereka daripada mengancam untuk kenakan saman.
“Pihak berkuasa sepatutnya menggunakan pertimbangan dan budi bicara ketika menjalankan tugas mereka,” katanya.
Chin juga berkata beliau membuat keputusan untuk tidak melaporkan kepada polis berhubung insiden berkenaan kerana tidak mahu menyusahkan polis ketika ini.
“Kita akan tunjukkan belas kasihan kepada mereka yang mana mereka tidak tunjukkan kepada kita.
“Bukan mudah untuk semua orang. Kita hanya mahu polis tunjukkan belas kasihan kepada rakyat,” kata Chin.
Negara kini di bawah perintah kawalan pergerakan ketiga (PKP 3.0), yang berkuatkuasa sehingga 7 Jun selepas lonjakan kes Covid-19.– 17 Mei, 2021.