Polis siasat keluarga pelakon kes ziarah raya
Iklan
POLIS menyiasat pelakon yang disyaki melanggar ketatapan kawalan pergerakan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan melakukan kunjungan dan ziarah.
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata siasatan dilakukan ke atas bekas pasangan selebriti yang disyaki berkumpul bersama keluarga di satu kediaman di Hulu Kelang.
Siasatan dibuat berdasarkan gambar sambutan menunjukkan kehadiran 13 individu, yang tular di media sosial, katanya.
“Lebih kurang 13 individu yang disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.
“Majlis tersebut dijalankan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan iaitu program ziarah hari raya.
“Aktiviti ini tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, satu laporan polis juga diterima berkaitan kes itu yang kini disiasat bawah Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Kes ini masih dalam siasatan dan kami akan memanggil semua terlibat untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya.
Gambar itu menunjukkan pelakon lelaki tersebut, bekas isteri dan anak-anak mereka serta anggota keluarga lain.
Turut ditampilkan dalam gambar itu suami pelakon wanita terbabit bersama anak pasangan itu.
Mohamad Farouk juga berkata polis Ampang Jaya mengeluarkan 599 kompaun sepanjang tahun hingga 16 Mei dan membuka 16 kertas siasatan berkaitan kesalahan melanggar kawalan pergerakan. – 17 Mei, 2021.