Iklan

Pesakit bukan Covid-19 yang kritikal masih dirawat, kata MMA 

Aminah Farid3 years ago18th May 2021Berita
Spitalana
Pesakit kronik bukan Covid-19 masih dirawat walaupun terdapat gesaan untuk menangguhkan prosedur elektif.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.
Iklan

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) memberi jaminan akan terus merawat kes yang memerlukan pembedahan segera, walaupun Kementerian Kesihatan menggesa prosedur itu ditangguhkan bagi memberi ruang kepada rawatan pesakit Covid-19. 

Presiden MMA Dr M Subramaniam memberitahu The Malaysian Insight kes yang mengancam nyawa tidak akan ditangguhkan dan kes yang tidak melibatkan risiko terhadap pesakit akan diletakkan dalam senarai menunggu. 

“Pembedahan elektif telah ditunda, dan saya merasakan ia perlu ditangguhkan pada masa ini kerana kami memerlukan katil. Kami memerlukan tenaga kerja untuk menjaga pesakit Covid, yang semakin menular,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jadi kes apa yang akan ditangguhkan? Ianya adalah kes yang tidak perlu rawatan segera, yang tidak perlu dilakukan pada hari yang sama. Banyak pembedahan yang kita buat sekarang boleh ditangguh setahun kemudian. Kita lakukan hari ini hanya kerana kita ada masa dan ruang untuk melakukannya. 

“Sebagai contoh, kita lihat kes tiroid bengkak di leher. Ini bukan kes yang tidak mendesak kecuali ianya kanser atau sesuatu yang mampu menjadi puncanya. 

“Atau katakan terdapat ketulan di payudara. Jadi kita akan lakukan pembedahan kerana ia kemungkinan kanser. Ia perlu dibuktikan sama ada kes itu adalah penting,” kata Subramaniam. 

Awal minggu ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata prosedur elektif hospital di Lembah Klang perlu dikurangkan atau ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pesakit Covid-19.

Malaysia kini berdepan lonjakan kes jangkitan koronavirus yang mencecah lebih 4,000 kes sehari. Seluruh negara turut dikenakan perintah kawalan pergerakan yang melarang pergerakan rentas negeri dan daerah, perhimpunan sosial dan makan di premis restoran. 

Dr Subramaniam berkata beliau bersetuju dengan gesaan untuk tangguhkan prosedur elektif kerana KKM memerlukan lebih ramai tenaga kerja untuk menangani pandemik. 

Beliau juga setuju bahawa hospital awam kini tiada ruang untuk melakukan prosedur elektif. 

Bgaimanapun kata dr Subramaniam, langkah ini diterima dalam amalan perubatan antarabangsa dan ia bukan sesuatu perkara baharu yang mana terdapat segelintir pesakit di luar negara yang perlu menunggu lebih setahun untuk menjalani pembedahan. 

“Apabila terdapat keperluan mendesak untuk tenaga kerja, kemudahan dan ruang, adalah penting untuk kita menangguhkan kes elektif dan dahulukan kes kecemasan serta menguruskan Covid-19 berbanding yang lain,” katanya.

Tambahnya, MMA bagaimanapun tidak mempunyai data jumlah pesakit dalam senarai menunggu untuk prosedur elektif.– 18 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan