Ahli keluarga Neelofa disiasat, kata polis
Iklan
AHLI keluarga selebriti Noor Neelofa Mohd Noor hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields petang ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar sekatan mencegah penularan pandemik Covid-19, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Brickfields Anuar Omar berkata Neelofa juga hadir bersama sembilan anggota keluarganya yang lain.
“Mereka memberikan kerjasama yang baik (untuk membantu siasatan),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Anuar dalam satu kenyataan sebelum itu berkata mereka disiasat selepas pihak polis menerima laporan berkaitan video tular yang merakamkan keluarga berkenaan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail.
Siasatan awal mendapati video sepanjang 26 saat itu dimuat naik melalui akaun Instagram kakak Neelofa dan dikongsi oleh pengguna Twitter, katanya.
“Kes masih dalam penyiasatan polis dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 PU(A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya, merujuk Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Anuar juga menasihat orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video yang tular itu dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Sebarang aktiviti yang bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penyalahgunaan permit merentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Semalam, rakaman video dengan kapsyen “1 Syawal yang penuh mulia” tersebar menunjukkan kakak Neelofa, Noor Nabila bersalaman dengan ibu bapanya.
Video pendek itu dipasang di Instastory, yang hanya dipaparkan untuk tempoh 24 jam.
Assalamualaikum pic.twitter.com/rDtKezLmgW
— Naz. (@TheZollonist) May 17, 2021
Ini adalah kali ketiga polis membuka siasatan berhubung Neelofa.
Sebelum ini, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan selepas merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan bagi membeli karpet.
Pada 6 Mei lalu polis dilapor sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung dakwaan Neelofa dan suaminya melanggar sekatan pergerakan pergi ke Nilai, Negeri Sembilan. Kertas siasatan bagaimanapun dikembalikan semula untuk dikemaskan.
Sebelum itu, Neelofa dan keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 atas kesalahan kegagalan mematuhi SOP penganjuran majlis sosial serta melanggar kebenaran merentas negeri.
Pada 27 Mac lalu, Neelofa selamat bernikah dengan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali PU Riz. Tidak lama selepas itu, pasangan ini merentas negeri ke ke Langkawi, Kedah kononnya atas urusan perniagaan.
Pergerakan mereka di Langkawi, yang dikongsi oleh Neelofa di media sosial, mengundang cemuhan apabila banyak aktiviti dibuat seperti mereka sedang berbulan madu. – 18 Mei, 2021.