Iklan

Kematian meningkat sebab kes Covid-19 melonjak, kata pakar

Ragananthini Vethasalam3 years ago19th May 2021Berita
Bm-1804-no.covid-19 deaths in may
Iklan

PENINGKATAN jumlah kematian Covid-19 berkait rapat dengan lonjakan jumlah jangkitan baharu sejak beberapa minggu terakhir ini, kata pakar perubatan.

Pada 12 Mei, Malaysia buat pertama kalinya melaporkan 39 kematian akibat koronavirus. Rekod sebelum itu adalah sebanyak 27, dua hari sebelumnya.

Pada 15 Mei, 44 kematian dilaporkan merupakan kali pertama jumlah kematian harian melebihi 40. Ini disusuli oleh 45 kematian dua hari kemudian, namun rekod itu dipecahkan semalam dengan 47 kematian, menjadikan jumlah kematian negara kepada 1,994.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr Zainal Ariffin Omar berkata wajar bagi jumlah kematian meningkat sejajar dengan peningkatan jumlah kes baharu.

Katanya terdapat banyak kes dalam Kategori 3 baru-baru ini dan kematian dilaporkan di kalangan orang muda.

Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: Kategori 1 - kes positif tanpa gejala, Kategori 2 - kes positif dengan gejala ringan, Kategori 3 - kes positif dengan radang paru-paru, Kategori 4 - pesakit dengan radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan Kategori 5 - kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Profesor Madya Epidemiologi Perubatan Universiti Putra Malaysia Dr Malina Osman bersetuju dengan Dr Zainal mengenai saling kait bersama antara jumlah kes dan kematian.

“Berdasarkan pengamatan setakat ini, jumlah kematian berkait dengan jumlah kes aktif dan baharu. Semakin tinggi jumlah kes, semakin tinggi jumlah kematian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pada pendapat saya, ini sangat berkait dengan beban sistem penjagaan kesihatan; semakin banyak pesakit yang kita ada, semakin banyak tekanan dihadapi,” katanya.

Tambah Dr Malina, kewujudan varian baharu virus dapat menyumbang kepada peningkatan mendadak kes yang kemudiannya akan menjadikan jangkitan lebih parah dan memerlukan rawatan yang lebih rapi.

Pakar Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata terdapat dua kemungkinan peningkatan jumlah kematian.

Dr Chee berkata ada kemungkinan varian tempatan yang ganas turut menyumbang.

Selain itu, katanya, kemasukan lewat pesakit di Kategori 3 dan 4 kerana kuarantin di rumah dan kurangnya pengalaman dalam pemantauan diri, boleh menjadi penyebab meningkatnya jumlah kematian.

“Sebab lain adalah kurangnya rawatan segera kerana terlalu ramai pesakit Kategori 4. Sebahagian orang mungkin terlalu serius dan tidak ada masa untuk tunggu katil. Keadaan mereka mungkin bertambah buruk,” katanya.

Tambah Dr Chee, jumlah kes yang menyumbang kepada kematian  juga meningkat kerana beberapa pesakit mungkin tidak tahu bagaimana mengatur diri ketika kuarantin di rumah atau ada yang mungkin tidak sedar mereka dijangkiti kerana mereka belum membuat ujian Covid -19.

Sementara itu, Dr Zainal berkata, Kementerian Kesihatan perlu menyediakan lebih banyak data mengenai varian yang sedang menular dan peranannya dalam jumlah kematian agar para pakar di luar kementerian juga dapat menganalisis.

Tambahnya, lebih banyak data diperlukan mengenai pesakit yang maut.

Lebih ramai orang muda dijangkiti

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberi amaran lebih ramai orang muda dijangkiti dengan gejala yang semakin teruk.

Katanya antara awal tahun ini dan 7 Mei, golongan muda berusia 20 hingga 29 tahun adalah yang tertinggi dijangkiti Covid-19 dengan 1,531 kes. Ini diikuti mereka yang berumur 30 hingga 39 tahun dengan 1,452 kes.

Menurut data dikumpulkan The Malaysian Insight, dari 17 Mac 2020 hingga 16 Mei 2021, terdapat 13 kematian dilaporkan di kalangan mereka yang berusia bawah 19 tahun, 23 kematian antara 20 hingga 29 dan 79 kematian antara mereka yang berumur 30 hingga 39 tahun.

Para pakar kesihatan mengaitkan ini dengan kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurut pemerhatian Dr Malina, ramai orang muda memandang enteng SOP malah ada yang mengetawakan perintah itu.

Ujarnya lagi, ada yang tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Mengenai gejala yang teruk, Dr Malina berkata ini mungkin disebabkan diagnosis dan rawatan yang lewat.

Sebaliknya, Dr Zainal berkata golongan muda adalah golongan yang aktif dengan pelbagai pendedahan dan interaksi.

Selain kurang mematuhi SOP, beliau berkata, ada yang mungkin berhubung rapat dengan mereka yang bergejala.

Sementara itu, Dr Chee berkata, selain tidak patuh SOP, ini juga disebabkan oleh varian yang berbahaya. – 19 Mei, 2021.

Iklan
Iklan