Iklan

Media tak salah lapor kematian Ganapathy, kata Amnesty

Elill Easwaran3 years ago18th May 2021Berita
Ganapathy cropped tmi 180521  full
Kenyataan Amnesty itu berikutan tindakan polis memanggil dan mengambil keterangan wartawan dan subeditor Malaysiakini berhubung laporan yang memetik kenyataan peguam Ganapathy berkaitan bapa kepada dua anak itu dipukul ketika dalam tahanan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.
Iklan

LAPORAN media mengenai kematian A. Ganapathy tidak mengganggu ketenteraman awam, kata kumpulan hak asasi Amnesty International berhubung wartawan Malaysiakini dipanggil polis mengenai perkara itu.

Ahli keluarga mangsa berusia 44 tahun itu berhak untuk tahu mengenai kematiannya setelah mengalami kecederaan ketika berada dalam tahanan polis, dan mereka berhak mendapat keadilan, kata Amnesty dalam satu kenyataan di Twitter malam ini.

“Melaporkan kes itu, bercakap tentang kes itu, menuntut penyiasatan yang telus, mendesak #JusticeForGanapathy tidak mengganggu ‘ketenteraman awam’. Kekerasan + ketidakadilan adalah gangguan keamanan.

“Media perlu dibenarkan lapor hal ini, orang ramai berhak tahu,” kata Amnesty.

Ganapathy meninggal pada 18 April di Hospital Selayang semasa menjalani rawatan setelah dihantar ke sana dari lokap polis.

Mendiang menghabiskan masa selama sebulan di hospital itu dan sudah berada dalam tahanan polis selama 12 hari sebelum itu. 

Pada mulanya beliau ditangkap pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap jenayah yang didakwa dilakukan oleh abangnya.

Kenyataan Amnesty itu berikutan tindakan polis memanggil dan mengambil keterangan wartawan dan subeditor Malaysiakini berhubung laporan yang memetik kenyataan peguam Ganapathy berkaitan bapa kepada dua anak itu dipukul ketika dalam tahanan polis.

Ketiga-tiga mereka disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung “penyebaran khabar angin yang boleh menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang ramai, yang dapat mendorong seseorang untuk melakukan kesalahan terhadap negara atau keamanan awam.”

Peguam Ganapathy Ganesh Kanagaretnam berkata portal itu ada hak untuk melaporkan perkara tersebut kerana ia ada kepentingan terhadap orang awam.

“Jika mereka mahu menekan media, itu bermaksud media berada di landasan yang benar, dan sekarang mereka mahu menafikan kebenaran,” kata Ganesh kepada The Malaysian Insight. – 18 Mei, 2021.

Iklan
Iklan