Iklan

Kertas siasatan Neelofa ke Nilai pada pejabat pendakwa raya, kata polis

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago19th May 2021Berita
Nilopa
Neelofa dan suami pernah dikenakan kompaun masing-masing RM20,000 dan RM10,000 kerana merentas negeri serta gagal mematuhi SOP pencegahan Covid-19 semasa majlis akad nikah mereka.– Gambar Facebook, 19 Mei, 2021.
Iklan

POLIS sedang menunggu keputusan timbalan pendakwa raya berhubung siasatan ke atas selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya yang didakwa merentas negeri ke Nilai dan melanggar sekatan perintah kawalan pergerakan, kata Ketua Polis Nilai Mohd Fazley Ab Rahman.

Menurut Mohd Fazley, kertas siasatan dihantar buat kali kedua kepada timbalan pendakwa raya pada 11 Mei lalu selepas dikembalikan semula untuk dikemaskan beberapa hari sebelum itu.

“Kertas siasatan masih di pejabat Peguam Negara untuk kajian. Jika ada perkembangan saya akan maklum kembali,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 6 Mei lalu, Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop dipetik berkata kertas siasatan yang diserahkan kepada pihak pendakwa raya telah dikembalikan kepada pihak polis untuk diperkemaskan.

Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail hadir ke Ibu Pejabat Polis Nilai pada 4 Mei untuk memberi keterangan berhubung dakwaan mereka melanggar sekatan perjalanan dengan merentas negeri ke Nilai, seperti yang tular di media sosial.

Media melaporkan mereka diambil keterangan selama kira-kira empat jam.

Pasangan itu disiasat berhubung gambar dan video yang tular menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai pada awal bulan ini.

Polis juga dilapor mengambil keterangan pemilik dan pekerja kedai karpet itu.

Neelofa dan suaminya disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021, kata polis.

Semalam, Neelofa dan sembilan ahli keluarganya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk memberi keterangan selepas didakwa berhimpun menyambut Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah di Kuala Lumpur.

“Mereka memberikan kerjasama yang baik (untuk membantu siasatan),” kata Ketua Polis Brickfields Anuar Omar.

Siasatan semalam adalah yang ketiga melibatkan Neelofa berkaitan pelanggaran peraturan dan sekatan mencegah penularan Covid-19.

Menurut Anuar, Neelofa dan ahli keluarganya disiasat selepas pihak polis menerima laporan berkaitan video tular yang merakamkan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail.

Pada hujung April, Neelofa disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 semasa majlis perkahwinannya dan seterusnya merentas negeri ke Langkawi, Kedah bersama suami Haris Ismail.

Tindakan mereka dikecam hebat oleh orang ramai yang menganggap pasangan itu langsung tidak menghormati undang-undang.

Neelofa dan suami masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana merentas negeri serta gagal mematuhi SOP pencegahan Covid-19 semasa majlis akad nikah mereka, yang juga tular di media sosial.

Polis turut mengenakan kompaun RM1,500 setiap seorang ke atas 20 ahli keluarga Neelofa kerana gagal menjaga jarak semasa majlis berlangsung. – 19 Mei, 2021.

Iklan
Iklan