Syarikat tawar 2 juta vaksin Sinovac untuk Pulau Pinang tidak wujud, kata Khairy
Iklan
SYARIKAT yang mahu menyumbang dua juta dos vaksin jenis Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang ialah sebuah entiti palsu, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata beliau sudah menyiasat tawaran yang dibuat oleh seorang yang bernama Yong Chee Kong dari Xintai Development Enterprise Ltd, sebuah syarikat yang berpejabat di Hong Kong.
“Ini satu penipuan. Ini palsu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jelas Khairy, semakan dengan Sinovac juga mendapati tiada sebarang tempahan untuk membeli vaksin dibuat oleh syarikat atau individu berkenaan.
Semakan rekod syarikat juga mendapati syarikat itu tidak wujud, tambahnya.
Khairy turut mendedahkan beliau juga menerima tawaran sama daripada lelaki berkenaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semalam mendesak Putrajaya meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk menerima sumbangan vaksin tersebut.
The Malaysian Insight sudah menghubungi Chow untuk mendapatkan komennya mengenai syarikat tersebut. Sehingga berita ini ditulis, beliau belum memberi sebarang maklum balas.
Menerusi surat bertarikh 1 Februari lalu, Yong, yang mendakwa dirinya pengarah urusan Xintai, memaklumkan kepaada Chow beliau akan membayar deposit AS$2 juta (RM8.3 juta) untuk mendapatkan 2 juta dos vaksin Sinovac.
Pembelian vaksin itu juga diketahui pengurus pasaran antarabangsa Sinovac, Coco Chang, kata lelaki itu.
Khairy berkata beliau terdorong untuk menyiasat tawaran syarikat berkenaan selepas Chow mengadakan sidang media bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam.
“Selepas membuat pengesahan bersama pihak Sinovac di China, saya nak mengumumkan bahawa tiada apa-apa bukti atau dokumen mahupun permohonan telah diterima daripada mana-mana wakil syarikat tersebut berhubung sumbangan yang dimaksudkan,” kata Khairy.
Malah wanita yang dikatakan sebagai pegawai Sinovac bernama Coco Chang itu juga menafikan telah dihubungi oleh Xintai bagi tujuan tersebut, tambahnya.
Khairy berkata pihaknya juga menerima permohonan sumbangan derma dua juta dos vaksin Sinovac kepada Sabah oleh Xintai pada 9 Februari.
Hasil semakan pegawainya dengan Sinovac mendapati tawaran tersebut palsu.
“Jadi bagaimana kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan surat (scam) palsu untuk menuduh kerajaan pusat menghalang pemberian vaksin ini? Syarikat ini tidak wujud dan surat itu palsu.
“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang bekalan vaksin kepada Malaysia atau kerajaan negeri, namun ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan.
“Vaksin adalah barang yang dikawal dan ia bukan macam beli t-shirt di Shoppe,” jelasnya.
Khairy seterusnya berkata beliau telah menghubungi Chow dan Lim, serta meminta supaya tidak mempolitikkan program imunisasi Covid-19.
“Jangan mempolitikkan program vaksinasi kebangsaan dengan ‘sampah’ seperti ini. Ini adalah penipuan.”
Ahli Parlimen Rembau menambah, beliau terbuka untuk dibuktikan salah dan akan memberi kebenaran ntuk membawa masuk vaksin Sinovac jika Pulau Pinang dapat membuktikan tawaran tersebut sahih. – 19 Mei, 2021.