Neelofa, suami didakwa esok kes rentas negeri beli karpet, kata polis
Iklan
SELEBRITI Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail akan didakwa di mahkamah esok berhubung kesalahan melanggar peraturan mencegah penularan Covid-19 kerana merentas negeri ke Nilai awal bulan ini, kata polis.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Che Zakaria Othman mengesahkan kepada The Malaysian Insight pasangan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, dijangka pada pukul 9 pagi.
Beberapa media lain juga memetik sumber mahkamah mengesahkan perkara sama.
The Malaysian Insight awal hari ini melaporkan polis telah menyerahkan kepada pihak pendakwa raya kertas siasatan terhadap Neelofa dan suaminya untuk kali kedua pada 11 Mei lalu.
Kertas itu dipulangkan kepada pihak polis sekali lagi untuk dilengkapkan siasatannya, selepas dilengkapkan sebelum 6 Mei lalu.
Neelofa dan suami sebelum ini disiasat berhubung gambar dan video yang tular menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai pada 2 Mei lalu.
Mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Nilai pada 4 Mei untuk memberi keterangan berhubung dakwaan mereka melanggar sekatan perjalanan dengan merentas negeri ke Nilai, seperti yang tular di media sosial.
Media melaporkan mereka diambil keterangan selama kira-kira empat jam.
Polis juga dilapor mengambil keterangan pemilik dan pekerja kedai karpet itu.
Neelofa dan suami disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021, kata polis.
Semalam, Neelofa dan sembilan ahli keluarganya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk memberi keterangan bagi satu siasatan berasingan selepas didakwa berhimpun menyambut Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah di Kuala Lumpur.
Siasatan semalam adalah yang ketiga melibatkan Neelofa berkaitan pelanggaran peraturan dan sekatan mencegah penularan Covid-19.
Pada hujung April, Neelofa disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 semasa majlis perkahwinannya dan seterusnya merentas negeri ke Langkawi, Kedah bersama Haris.
Tindakan mereka dikecam hebat oleh orang ramai yang menganggap pasangan itu langsung tidak menghormati undang-undang.
Neelofa dan suami masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana merentas negeri serta gagal mematuhi SOP pencegahan Covid-19 semasa majlis akad nikah mereka, yang juga tular di media sosial.
Polis turut mengenakan kompaun RM1,500 setiap seorang ke atas 20 ahli keluarga Neelofa kerana gagal menjaga jarak semasa majlis berlangsung. – 19 Mei, 2021.