Keluarga kumpul RM39,000 bantu rumah anak yatim dijangkiti Covid-19
Iklan
BAGI melindungi beberapa anak yatim daripada dipisahkan selepas dijangkiti Covid-19, Sharifah Umaisha terpaksa memohon sumbangan orang ramai bagi memastikan kanak-kanak berkenaan dapat menjalani kuarantin bersama-sama di rumah kebajikan.
Berita mengenai rumah anak yatim itu tular berikutan catatan di Facebook oleh seorang rakan keluarga Sharifah, Azaad yang pihak mereka memerlukan dana membeli ubat-ubatan dan bekalan makanan selepas wabak Covid-19 memerangkap 35 kanak-kanak di dalam rumah berkenaan selepas sembilan daripadanya positif wabak itu.
Rumah anak yatim itu diurus dan dibiayai oleh ayah dan ibu Sharifah, tetapi selepas bapanya yang dikenali sebagai Tok Ayah meninggal dunia minggu lalu kerana Covid-19 dan ibunya, Ummi dimasukkan ke hospital, memaksa rumah anak yatim itu meminta bantuan orang ramai.
Sejak itu, kempen berjaya mengumpul dana lebih RM39,000 untuk anak-anak yatim dan kini sudah ditutup.
Sharifah yang menguruskan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ummi di Kajang memberitahu The Malaysian Insight, beliau didatangi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memintanya mempertimbangkan untuk menghantar semula beberapa anak yatim kepada waris mereka.
“Saya menerima panggilan daripada Jabatan Kebajikan semalam yang mencadangkan agar saya menghantar anak-anak yatim tidak dijangkiti Covid-19 kepada waris mereka. Bagaimanapun saya tidak bersetuju kerana itu akan menyakiti mereka secara emosional,” katanya.
Beliau menambah anak-anak masih bersedih dengan kehilangan Tok Ayah yang menguruskan rumah anak yatim kira-kira lapan tahun bersama isterinya yang juga dijangkiti virus berkenaan.
Sharifah berkata semuanya bermula apabila ibu bapanya dijangkiti Covid-19 beberapa minggu lalu.
Beliau kemudian segera bertindak dan membawa kesemua anak yatim menjalani saringan pada 12 Mei.
Apabila menerima keputusan pada 16 Mei, beliau diberitahu sembilan anak yatim dijangkiti virus berkenaan.
Sharifah memutuskan untuk mengumpulkan dana bagi menjaga kanak-kanak itu di rumah berkenaan selepas jabatan kesihatan menyarankan mereka menghantar anak-anak yatim itu ke pusat kuarantin jika tidak mempunyai keperluan asas mencukupi.
Rumah anak yatim itu terbahagi kepada dua, satu untuk lelaki dan satu untuk perempuan. Setakat ini, terdapat kanak-kanak lelaki sedang menjalani kuarantin di asrama lelaki manakala sembila kanak-kanak perempuan menjalani kuarantin di asrama mereka.
Bagi mengekang penyebaran virus dan tidak memisahkan anak-anak yatim itu antara satu sama lain Sharifah berkata mereka yang tidak dijangkiti virus kini menjalani kuarantin di rumah rakan berdekatan.
Beliau berkata, dua anak yatim berusia 17 tahun yang juga positif Covid-19 kini menjaga kesemua anak yatim yang lebih muda di kedua-dua asrama itu.
“Tetapi setakat ini, oleh kerana kesemua mereka sudah besar, mereka dapat menguruskan diri dengan baik tanpa memerlukan banyak bantuan,” katanya.
Rumah anak yatim berusia lapan tahun itu didaftarkan dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Sementara itu Sharifah juga menjalani kuarantin bersama keluarganya selepas dia dan beberapa daripada mereka juga dijangkiti virus berkenaan.
Ibunya kini ditempatkan di sebuah hotel di Kajang sehingga anak-anaknya dan anak yatim pulih daripada jangkitan virus berkenaan.
Sharifah berkata dia akan bertemu dengan Adun Kajang Hee Loy Sian untuk membincangkan bagaimana menguruskan keadaan berkenaan.
Mereka yang berminat untuk membantu Sharifah menguruskan rumah anak yatim itu boleh menyalurkan bantuan ke akaun bank rasmi mereka—8881008069204 (Ambank). – 20 Mei, 2021.