Iklan

Polis rakam keterangan 8 peserta protes Buka Puasa, Buka Parlimen 

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago20th May 2021Berita
Activists dang wangi 200521 tmiseth 02 (1)
Beberapa individu yang menyertai himpunan tunjuk perasaan "Buka Puasa Buka Parlimen" hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini dengan memakai baju Melayu lengkap bersampin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Mei, 2021. 
Iklan

POLIS hari ini merakamkan keterangan lapan individu termasuk ahli parlimen yang menyertai himpunan tunjuk perasaan “Buka Puasa Buka Parlimen” pada 30 April lalu.

Setiausaha Agung Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abdul Hadi berkata beliau dan tujuh yang lain hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira 1 tengah hari.

“Keterangan kami dirakam kira-kira satu jam sebelum dibenarkan pulang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tujuh yang lain termasuk Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, yang juga Presiden Penaja Pejuang serta Adun Paloh Sheikh Umar Ali Bagharib dan Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei.

Empat lagi yang dipanggil oleh polis hari ini ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Sharan Raj, Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Asmaalif Abdul Adam, ketua penaja Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan dan pengasas bersama Undi-18 Tharma Pillai.

Beberapa antara mereka hadir dengan memakai baju Melayu lengkap bersampin.

Amir juga sebelum itu menulis di Twitter mereka berhari raya di balai polis pada hari ini kerana pihak berkuasa tidak membenarkan mereka mengadakan tunjuk perasaan Buka Puasa Buka Parlimen.

Sebelum memasuki IPD Dang Wangi, mereka melaungkan slogan menyeru kerajaan supaya membenarkan Parlimen bersidang semula.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata peserta tunjuk perasaan itu disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ini berikutan laporan yang dibuat oleh Ahmad Zainal Tuan Ismail, penolong penguasa yang mengetuai sepasukan anggota polis untuk menjaga keamanan semasa tunjuk perasaan itu.

Himpunan “Buka Puasa Buka Parlimen” di hadapan bangunan Parlimen di Kuala Lumpur dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), sebuah gabungan kumpulan anak muda.

Ia diadakan bagi membantah penutupan Parlimen susulan penguatkuasaan perintah darurat sejak 11 Januari lalu. – 20 Mei, 2021. 

Iklan
Iklan