Rekod baharu dengan 59 kematian, 587 di ICU
Iklan
MALAYSIA hari ini melaporkan rekod baharu kematian dengan 59 maut akibat Covid-19, menjadikan jumlah kematian di seluruh negara 2,099, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat kepada 587, dengan 330 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Hari ini, Malaysia turut mencatatkan 6,806 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak bermulanya pandemik.
Selangor kekal sebagai negeri dengan jumlah kes harian tertinggi, pada 2,277, diikuti Kuala Lumpur (655) dan Johor (615).
Rekod harian kedua tertinggi adalah semalam dengan 6,075 kes positif sementara rekod kematian harian kedua tertinggi adalah pada 18 Mei dengan 47 kematian.
Kematian hari ini melibatkan 14 kes di Johor, Selangor (10), Kuala Lumpur (8), Kelantan (6), Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing empat kes, tiga kes masing-masing di Kedah, Perak, dan Terengganu, Sarawak (2), dan satu kes masing-masing di Sabah dan Pulau Pinang.
Mangsa paling tua, lelaki berumur 91 tahun dari Sarawak dan paling muda adalah lelaki berusia 37 tahun dari Johor, kedua-duanya mempunyai sejarah masalah kesihatan.
Terdapat 3,916 kes telah pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih 440,032.
Noor Hisham berkata, daripada kes positif hari ini, dua diimport, melibatkan dua rakyat Malaysia.
Tambahnya, pada masa ini terdapat 492,302 kes aktif aktif di seluruh negara. – 20 Mei, 2021.