Iklan

Pengawal keselamatan mati dalam tahanan polis, keluarga gesa adakan siasatan

Elill Easwaran3 years ago20th May 2021Berita
Img 9076
Ibu mangsa, Maheswary Chellyaya menangis selepas mendapat tahu tentang kematian anaknya. Maheswary ditenangkan oleh peguam Ganesh Kanagaretnam (kanan) dan seorang ahli keluarganya. – Gambar ihsan keluarga Sivabalan Subramaniam, 20 Mei, 2021.
Iklan

SEBUAH keluarga malam ini meratapi pemergian seorang ahlinya yang meninggal dalam tahanan di ibu pejabat polis daerah Gombak hari ini.

Sivabalan Subramaniam, pengawal keselamatan berusia 43 tahun, diambil polis dari tempat kerjanya di Bandar Baru Selayang pagi ini untuk siasatan kes pemerasan.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe dalam satu kenyataan malam ini berkata Sivabalan dibawa ke ibu pejabat polis Gombak pada pukul 11.40 pagi, sebelum dia mengadu sesak nafas.

Polis kemudiannya memanggil ambulans di mana pegawai perubatan berusaha menyelamatkan Sivabalan yang dinyatakan meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari.

Arifai berkata, siasatan awal menunjukkan si mati mempunyai sejarah masalah jantung.

“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan sekarang kami sedang menunggu hasil bedah siasat,” kata Arifai, menambah Sivabalan mempunyai dua kes polis.

Ahli keluarga Sivabalan berada di balai polis Gombak malam ini di mana mereka mempersoalkan bagaimana mangsa boleh mati kira-kira sejam setelah diambil oleh polis. 

Mereka mendesak siasatan mengenai kematian Sivabalan.

Peguam keluarga Ganesh Kanagaretnam berkata, perkara itu pelik kerana kejadian itu berlaku sebulan selepas peniaga susu lembu A. Ganapthy mati ketika berada dalam tahanan polis Gombak.

Ganapathy ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan atas tuduhan jenayah abangnya. Mendiang dikatakan menghabiskan 12 hari dalam tahanan polis sebelum dimasukkan ke hospital.

Ganapathy meninggal akibat kecederaan pada 18 April setelah menghabiskan lebih sebulan di unit rawatan rapi di Hospital Selayang. – 20 Mei, 2021.

Iklan
Iklan