Hospital swasta diarah tambah katil untuk kes Covid-19
Iklan
KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan hospital swasta menambah katil untuk pesakit Covid-19 di wad biasa dan Unit Rawatan Rapi (ICU), kerana hospital kerajaan sudah hampir kehabisan katil.
Noor Hisham berkata dalam surat bertarikh 20 Mei, jumlah pesakit Covid-19 semakin meningkat.
“Kementerian memahami hospital swasta juga melihat peningkatan pesakit Covid-19 pada ketika ini, sama ada di wad atau ICU,” katanya.
Namun, katanya, kementerian sudah bersiap sedia bagi menghadapi situasi luar jangka dan memerlukan kerjasama hospital swasta untuk mencegah negara terjerumus dalam “konflik kesihatan” lebih serius.
“Semua hospital swasta yang merawat pesakit Covid-19 harus menambah jumlah katil untuk pesakit Covid-19. Jumlah maksimum katil harus berdasarkan lesen kapasiti katil di wad dan ICU.”
Noor Hisham berkata, hospital swasta mesti meningkatkan peruntukan katil bagi pesakit Covid-19 tanpa menjejaskan kualiti rawatan.
Katanya, hospital swasta juga mesti memastikan penggunaan katil dicatat setiap hari.
Memberikan maklumat terkini mengenai keadaan di hospital kerajaan, Noor Hisham berkata lebih 70% ICU sudah diisi dan kadar penggunaan melebihi 100% di wilayah tengah.
Wad juga sudah mencapai kadar penggunaan sebanyak 70 hingga 90%.
Jumlah kes positif juga meningkat sebanyak 19.1% berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
Selain itu, jumlah kematian dan sementara kes harian serta kumulatif tetap tinggi.
Beliau menambah yang jumlah kes meningkat tanpa tanda akan surut dalam masa terdekat.
Pada 7 Mei, Noor Hisham membuat gesaan serupa kepada hospital kerajaan untuk bersiap menghadapi lonjakan kes Covid-19. – 21 Mei, 2021