Pakar risau makin ramai maut sebelum dibawa ke hospital
Iklan
TERDAPAT beberapa faktor yang menyumbang kepada kes pesakit Covid-19 meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID) termasuk yang tidak didiagnosis dijangkiti virus, kata pakar kesihatan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, jangkitan semula selain beban pasukan barisan hadapan dan kemudahan kesihatan turut menyumbang kepada kes seperti itu.
Terdapat 103 kes BID sejak 1 Mac hingga semalam dengan 45 kes seperti itu dalam 18 hari pertama bulan ini sahaja.
Jumlah yang meningkat juga mencerminkan lonjakan kes harian Covid-19 dan jumlah kematian.
Prof Madya Dr Tan Toh Leong, doktor kecemasan di jabatan kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata keputusan ujian pesakit-pesakit ini boleh menghasilkan negatif palsu, menjadikan mereka tidak termasuk dalam senarai individu dijangkiti.
Katanya ada juga kemungkinan jangkitan varian yang tidak dapat dikesan menggunakan ujian RT-PCR biasa pada pesakit ini.
Varian seperti itu, yang boleh berada di mana-mana, memerlukan primer mutasi khusus, katanya.
“Ini adalah ujian RT-PCR yang sama tetapi menggunakan primer yang berbeza. Kami tidak buat itu dalam pemeriksaan rutin,” kata Tan menjelaskan mengapa varian yang tidak diketahui tidak dikesan dalam ujian seperti itu.
“Tahun lalu virus itu masih ‘amatur’ tetapi buat masa ini virus itu telah menyesuaikan diri dengan tubuh manusia,” katanya.
Tan juga berkata virus cenderung berevolusi dan kerap kali boleh menetap dalam tubuh perumah (hos) tanpa dapat dikesan untuk jangka masa yang lama.
“Mereka berevolusi menjadi varian baharu dan menyesuaikan diri dengan tubuh. Apabila mereka mereplika (replicate), mereka cenderung untuk tidak dapat dikesan, menjadikan pesakit tidak gejala,” katanya.
“Walaupun tidak bergejala, elemen bahayanya mungkin masih berfungsi, dan ketika itulah kematian mengejut terjadi.”
Katanya jangkitan semula boleh menjadi penyebab lain kematian, terutama di kalangan pesakit muda.
“Dijangkiti semula untuk kali kedua akan lebih buruk berbanding kali pertama malah yang ketiga mungkin akan menyebabkan masalah besar,” katanya, menambah jumlah kes sporadik yang tinggi mungkin juga bermaksud ada kes positif yang tidak dapat dikesan.
Tan berkata kemungkinan terakhir kes BID mungkin kerana gagal mendapatkan rawatan tepat pada masanya, kerana sumber kesihatan yang terlalu sibuk.
Katanya penting bagi Malaysia mencegah jangkitan silang, bagi mencegah pembentukan strain tempatan baharu yang boleh melawan vaksin semasa sekali gus menyebabkan peningkatan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Twitternya baru-baru ini menulis terdapat 45 kes BID dari 1 Mei hingga 18 Mei sahaja.
Pada 18 Mei, lapan kes BID dilaporkan, dengan Selangor melaporkan lima kes seperti itu pada hari sama.
Noor Hisham sebelum itu telah memberi amaran kes BID sedang meningkat di Lembah Klang, menambah semua mayat akan dibuat ujian calitan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan.
Sementara itu, pakar virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata sebilangan pesakit mungkin tidak tahu bagaimana mengawal diri ketika kuarantin di rumah, yang juga boleh menjadi salah satu sebab kes BID.
“Mereka yang kuarantin di rumah perlu memeriksa kadar oksigen mereka secara berkala,” katanya, menggalakkan mereka yang kuarantin untuk membeli oksimeter.
“Jika tahap oksigen bawah 95%, mereka perlu segera menghubungi Pusat Penilaian Covid-19 untuk mendapatkan nasihat dan mengatur pemasukan,” kata Dr Chee.
Tambahnya ada juga kemungkinan beberapa orang mungkin tidak sedar mereka dijangkiti kerana mereka belum membuat ujian Covid-19, yang juga dapat menyebabkan kematian mengejut.
Pada 18 Mei, Noor Hisham menulis di Twitter, terdapat 45 kes BID setakat bulan ini.
Semalam Malaysia melaporkan 6,493 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah terkumpul 498,795, selain 50 lagi kematian akibat virus itu, menjadikan angka kematian sebanyak 2,149. – 22 Mei, 2021.