Iklan

Asal gelandangan, tidak lama lagi jadi usahawan

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago25th May 2021Berita
Anjung kelana 220521 tmiseth 03
Mohd Faisal Abdullah, 37, memetik kacang bendi berhampiran Anjung Kelana di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Mei, 2021.
Iklan

SEKUMPULAN gelandangan di Kuala Lumpur yang ditempatkan di pusat transformasi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan sedang diasuh untuk berdikari sebagai usahawan tani, kata pengendali programnya.

Gelandangan ini tidak hanya diajar bercucuk tanam di tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi pada masa sama diberi latihan keusahawanan, kata pengendali Anjung Kelana.

Anjung Kelana ialah pusat transformasi gelandangan yang mula beroperasi sejak Mac lalu sebagai tempat gelandangan yang dibantu untuk tidak lagi hidup di tepi jalan.

Abdul Jalil Abdullah, 51, adalah antara lapan bekas gelandangan yang kini aktif mengerjakan kebun sayur-sayuran di Anjung Kelana di Taman Danau Desa di Kuala Lumpur.

“Saya memang minat bercucuk tanam sejak kecil kerana sering melihat arwah datuk menanam pelbagai jenis sayuran di belakang rumah.

“Tetapi tidak sangka, aktiviti bercucuk tanam ini yang akan mengubah status saya daripada gelandangan ke usahawan tani organik kelak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Abdul Jalil berasal dari Pulau Pinang, datang ke Kuala Lumpur dua tahun lalu selepas berselisih faham dengan bapa kandung setelah ibunya meninggal dunia.

Seorang pekerja  memeriksa tanaman kacang bendi berhampiran Anjung Kelana di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Mei, 2021.

Enam bulan pertama di Kuala Lumpur, Abdul Jalil bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum akhirnya tidur di kali lima selepas majikannya tidak membayar gaji.

“Saya tiada pilihan lain, saya cuba cari kerja namun gagal. Saya akan kutip tin lama dan jual untuk membeli makanan.

“Tetapi wang itu tidak cukup untuk bayar sewa bilik dan sebab itu saya tidur di jalanan sehingga diselamatkan DBKL pada Mac lalu,” katanya.

Abdul Jalil yang mengalami masalah lutut gembira selepas ditempatkan pusat transformasi Anjung Kelana. Tempat tinggalnya selesa, bekalan makanan cukup, selain ada khidmat rawatan kesihatan, katanya.

Apabila pihak pengendali pusat transformasi memperkenalkan program kebun bandar, beliau tidak melepaskan peluang selain sambil-sambil bercucuk tanam untuk mengisi masa lapang.

“Kami boleh saja duduk lama di sini namun saya tekad untuk berubah. Itu sebab saya belajar selok belok tanam pelbagai jenis sayur.

“Berkat didikan dan motivasi semua staf di sini, saya dan seorang lagi rakan ditawarkan pekerjaan di ladang ternakan dan pertanian di sebuah ladang di Janda Baik, Pahang.

“Kami akan ke sana Isnin ini,” katanya.

Abdul Jalil memberitahu Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berjanji akan memberinya sebidang tanah untuk beliau usahakan nanti, dengan syarat beliau menunjukkan kemampuan untuk berdikari sebagai usahawan tani.

“Saya yakin mampu berdikari selepas ini dan pasti tidak akan kembali ke jalanan,” katanya.

Gelandangan melihat hasil tanaman mereka berhampiran Anjung Kelana di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Mei, 2021.

Abdul Jalil juga berkata suatu hari nanti beliau mahu membantu gelandangan lain untuk boleh berdikari juga.

Rakan Abdul Jalil, Mohd Faizal Abdullah, 37, juga hidup di jalanan sejak setahun lalu selepas dibuang keluarga kerana memeluk Islam.

Beliau yang berasal dari Pulau Pangkor juga pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi akhirnya jadi gelandangan selepas terpaksa berhenti kerja kerana tidak dibayar gaji oleh majikan.

“Saya tidak tahu buat kerja lain, bercucuk tanam ini sesuatu yang asing bagi anak nelayan seperti saya. Di Pulau Pangkor, bapa saya ada dua bot besar dan berniaga ikan bilis.

“Tetapi, dengan didikan dan motivasi staf dan sukarelawan di sini, saya sudah mendapat pekerjaan dan yakin akan menjadi usahawan tani sendiri. Saya juga ingin mengusahakan kolam ternakan ikan sendiri,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Kebajikan Asnaf dan Gelandangan Rashdan Rashid berkata tanah seluas 0.72 hektar atau hampir 2 ekar yang dikerjakan sejak pertengahan Mac lalu sehingga ini sudah menghasilkan beratus-ratus kilogram sayur-sayuran.

Dalam tempoh itu, mereka sudah beberapa kali menuai kangkung, kacang bendi dan timun, sementara jagung dijangka boleh dituai dalam masa dua minggu.

“Semua sayur itu dijual di kedai runcit di sekitar kawasan ini. Hasilnya nanti akan diberikan kepada gelandangan sebagai pendapatan mereka,” katanya.

Sebahagian daripada tanaman yang diusahakan gelandangan berhampiran Anjung Kelana di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Mei, 2021.

Selepas ini, katanya, mereka bercadang untuk menanam tembikai pula di kawasan belukar yang dalam proses pembersihan.

“Kami berharap akan mendapat hasil yang memberangsangkan juga.

“Aktiviti bercucuk tanam ini bukan saja bagi mengisi waktu lapang mereka tetapi sebagai proses transformasi minda mereka daripada gelandangan kepada usahawan,” katanya.

Walaupun program kebun gelandangan ini menarik minat seorang daripada lima penghuni pusat transformasi, penyelaras program Haikal Zulkifli berkata pihaknya tidak putus asa.

Katanya, matlamat utama mereka ialah untuk menjadikan bekas gelandangan ini boleh berdikari apabila mereka ditempatkan di tempat tinggal percuma yang dibiayai oleh kerajaan.

Beliau mengakui usaha itu tidak mudah tetapi mereka program latihan kemahiran termasuk seni lukis akan diteruskan.

“Projek seterusnya ialah kelas menjahit dan projek kitar semula bagi mengaktifkan penghuni lain yang kurang minat untuk bercucuk tanam,” katanya. – 25 Mei, 2021.

Iklan
Iklan