Iklan

681 di ICU, 49 lagi maut akibat Covid-19

Aminah Farid3 years ago23rd May 2021Berita
50536176766 8406ca7fb6 o
Ketua Pengarah Kesihatan berkata negara juga mencatatkan 49 kematian akibat Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah korban di seluruh negara kepada 2,248. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2021.
Iklan

SERAMAI 681 pesakit Covid-19 kini di unit rawatan rapi (ICU) dengan 361 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan – angka tertinggi sejak pandemik mula dikesan dalam negara, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah 6,976 kes baharu Covid-19 dalam 24 jam terakhir juga mencatat rekod kes harian tertinggi sejak pandemik bermula tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata negara juga mencatatkan 49 kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah korban di seluruh negara setakat ini 2,248.

Katanya, pihak berkuasa kesihatan juga melaporkan 3,587 kes yang sudah pulih hari ini. Kes yang telah pulih kini sebanyak 452, 821.

Sementara itu, Malaysia turut mencatat 6,976 kes baharu Covid-19 dalam 24 jam terakhir ini, jumlah harian tertinggi sejak pandemik bermula.

Kesemua mangsa adalah rakyat tempatan.

Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan yang meninggal dunia berusia atas 40 tahun, dan mempunyai penyakit lain.

Berdasarkan 49 kematian itu, enam adalah pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID).

Dua kes BID termuda adalah rakyat tempatan berusia 33 dan 36 tahun. Kedua-duanya mempunyai sejarah masalah kesihatan.

Wanita, 33 tahun itu mempunyai penyakit obesiti, dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Manakala lelaki berusia 36 tahun itu meninggal dunia sebelum di bawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh di Kelantan. Dia menghidap tekanan darah tinggi, gaut dan juga obesiti.

Terdapat lima kematian bawah umur 40 tahun hari ini. Paling muda, wanita Johor berusia 25 tahun, kedua termuda adalah lelaki berusia 27 tahun dari Selangor.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan yang diketahui.

Jumlah kematian tertinggi berlaku di Selangor dengan 14 kes, diikuti Johor (8), Pulau Pinang dan Melaka masing-masing enam kematian.

Negeri-negeri lain turut melaporkan kematian, iaitu di Kedah (4), Sarawak (3), dua kes masing-masing di Sabah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, dan satu kes masing-masing di Kelantan dan Perlis. – 23 Mei, 2021.

Iklan
Iklan