Mahkamah akan tentukan semakan kehakiman Undi18 pada 17 Jun ini
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 17 Jun sama ada untuk membenarkan semakan kehakiman mengenai penangguhan kerajaan untuk melaksanakan umur minimum mengundi pada usia 18 tahun, juga dikenali sebagai Undi18.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu setelah mendengar permohonan peguam Ambiga Sreenevasan dan Profesor Gurdial Singh Nijar, yang mewakili 18 pemuda yang mengemukakan permohonan semakan kehakiman.
Ambiga dan Gurdial memberitahu mahkamah, tidak adil jika tidak membenarkan semakan kehakiman sedangkan responden belum beri alasan kenapa Undi18 ditangguhkan.
“Kebenaran itu perlu diberikan memandangkan kita perlu dengar dari pihak (responden) tentang mengapa mereka merampas hak Perlembagaan rakyat berumur 18 tahun dari mengundi,” kata Ambiga.
Responden itu adalah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Kerajaan Malaysia.
“Mahkamah perlu membenarkan perkara tersebut sampai ke tahap substantif, membenarkan para responden memberikan penjelasan melalui surat afidavit, dan setelah itu barulah putuskan sama ada kes telah dibuat dan perkara lain apa yang wajar,” tambah Ambiga.
Pemohon berkata mereka telah membuktikan ada “kes yang dapat dipetikaikan” dan siapa pun yang terpengaruh oleh keputusan mana-mana pihak berkuasa awam berhak untuk membuat permohonan tersebut.
Pemuda Undi18 memfailkan semakan kehakiman pada 2 April atas tindakan kerajaan menunda pelaksanaan usia mengundi yang lebih selain pendaftaran daftar mengundi automatik (AVR), dari Julai 2021 hingga September 2022.
Pemohon berkata penundaan itu akan menyebabkan kira-kira 1.2 juta pemuda tidak dapat mengundi dalam pilihan raya mana pun, termasuk kemungkinan pilihan raya umum ke-15 sebelum September 2022.
Pada 19 April, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan bantahan awal terhadap tuntutan mahkamah itu dengan alasan ia adalah perkara yang remeh, menjengkelkan dan pramatang.
AGC berkata perubahan yang diperlukan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan pilihan raya dan Akta lain perlu dipinda untuk menegakkan pindaan Perlembagaan tersebut.
Umur minimum mengundi diturunkan ke 18 dari 21 sebelumnya setelah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, diikuti Dewan Negara pada 25 Julai 2019.
Ia diwartakan pada 10 September pada tahun sama.
Sebelum ini SPR berkata undang-undang, serta pendaftaran pengundian automatik, akan dilaksanakan paling lewat pada bulan Julai tahun ini.
Bagaimanapun, Pengerusi SPR Abdullah Ghani Salleh dalam satu kenyataan pada 25 Mac, memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18, merendahkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik sehingga 1 September tahun depan.
Beliau berkata persediaan ke arah pelaksanaan itu masih dijalankan tetapi terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Pada 29 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata suruhanjaya itu perlu menyelesaikan isu berkaitan undang-undang dan hal teknikal termasuk mengemas kini sistem perisian yang diperlukan. – 24 Mei, 2021.