Iklan

Saringan Covid-19 berskala besar libatkan kos tinggi, kata pakar

Ragananthini Vethasalam3 years ago25th May 2021Berita
51168796447 41667d5342 b
Pakar kesihatan berkata program saringan Covid-19 besar-besaran mungkin sesuai untuk pengesanan kes aktif namun memakan kos tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2021.
Iklan

PROGRAM saringan Covid-19 berskala besar mungkin sesuai untuk pengesanan kes aktif tetapi juga menelan kos yang tinggi, kata pakar kesihatan.

Mereka berkata perbelanjaan yang besar mungkin menghalang negeri melakukan ujian saringan percuma dalam kalangan penduduknya.

Pada masa ini, ujian saringan oleh kerajaan Selangor di seluruh negeri untuk mengesan pembawa senyap berharga RM70 seorang.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) dan bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kos itu termasuk harga alat ujian, sistem, logistik dan sumber manusia.

Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Malina Osman berkata pemeriksaan besar-besaran adalah langkah baik tetapi perbelanjaan yang tinggi menghalang usaha negeri lain.

“Negeri-negeri lain juga perlu menjalankan saringan secara besar-besaran tetapi saya rasa kos yang tinggi menghalang usaha ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau sebaliknya berkata bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya dan vaksinasi besar-besaran akan membantu mengurangkan kes-kes tersebut.

Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar juga bersetuju bahawa negeri-negeri lain perlu mengikut langkah menawarkan pemeriksaan percuma tetapi mencadangkan mereka memberi tumpuan terhadap zon merah terlebih dahulu.

Beliau juga berkata jumlah kes tinggi yang dilaporkan di Selangor dalam beberapa minggu kebelakangan ini mungkin disebabkan oleh pemeriksaan besar-besaran yang dilakukan di negeri ini.

“Ya. Sebahagian daripada kes itu dikesan dari ujian sukarela oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau menambah bahawa jumlah kes harian di Malaysia mungkin sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Beliau memberi amaran bahawa mungkin ada lebih banyak kes yang tidak dapat dikesan dalam kalangan komuniti.

Beliau menganggarkan jumlah sebenar kes positif mungkin dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi dari statistik semasa.

Dengan lebih ramai orang yang disaring, semakin tinggi kes positif, katanya.

Beliau berkata jika pengesanan kes positif rendah walaupun ujian besar-besaran dilakukan, ini bermakna jangkitan dalam kalangan masyarakat terkawal.

Dr Malina sebaliknya berkata, mungkin ada beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah jangkitan di Selangor.

Selangor memulakan program saringan Covid-19 percuma di seluruh negara pada 8 Mei sebagai sebahagian daripada Pelan Tindakan Kesihatan Awamnya.

Menteri Besar Amirudin Sharu baru-baru ini mengaitkan lonjakan kes di negeri itu dengan “pembawa senyap” yang tidak menyedari mereka membawa virus berkenaan.

Mengulas strategi kerajaan negeri, Dr Dzulkefly berkata tidak ada sasaran khusus mengenai berapa ramai orang yang menjalani saringan di bawah program berkenaan.

“Kami tidak menetapkan nombor. Seperti yang anda perhatikan, beberapa tempat kita berjaya saring 600 orang, sementara di tempat lain sehingga 5,000.

“Kita mendorong orang ramai untuk datang, terutama mereka yang berasal dari B40, atau mungkin keluarga besar yang sebaliknya tidak dapat menjalani ujian kerana kos kewangan pada waktu sukar ini.

“Ramai juga penduduk yang mempunyai kontak rapat tetapi masih belum dipanggil oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Negara melaporkan 6,509 kes semalam dengan Selangor terus mendahului jumlah kes harian dengan 2,049 kes.

Sehingga 22 Mei, sejumlah 29,239 individu disaring di bawah program saringan percuma di negeri ini. Dari jumlah ini, 1,494 disyaki positif Covid-19. – 25 Mei, 2021.

Iklan
Iklan