NGO ajar Bahasa Inggeris percuma kepada murid B40
Iklan
DENGAN sekolah menjalankan pembelajaran secara atas talian kerana pandemik Covid-19, sebuah kumpulan sukarelawan membangunkan satu program jaringan bertujuan memberikan peralatan dan berkongsi sumber dengan sesiapa yang mahu mengajar Bahasa Inggeris kepada murid miskin.
Yayasan Generasi Gemilang melancarkan program KidzREAD baru-baru ini selepas menyedari keperluan asas mengenal huruf dalam kalangan masyarakat B40.
“Kita melihat keperluan untuk program ini meningkat hingga menyebabkan ada murid terpaksa diletakkan dalam senarai menunggu,” kata penyelaras program KidzREAD Jolene Tan.
“Kita tidak dapat mengendalikan semua murid walaupun sesi sudah ditambah kepada empat sesi.”
Program KidzREAD mengajar lebih 300 murid daripada keluarga berpendapatan rendah sejak 2013.
Sepanjang pandemik ini, ia membantu 181 murid untuk menyesuaikan diri dengan platform pembelajaran secara online.
Dengan permintaan yang tinggi daripada program itu, tercetus idea untuk membangunkan jaringan supaya orang lain juga dapat mengajar kanak-kanak B40.
Idea itu bagi menyokong mereka yang berhasrat untuk membantu golongan memerlukan dalam bidang pendidikan, tetapi tidak mempunyai sumber atau tidak tahu bagaimana hendak berbuat demikian.
Mereka yang menyertai jaringan itu akan diberikan konsultasi dan latihan untuk melaksanakan program kenal huruf, kata ketua perkhidmatan pendidikan Generasi Gemilang Caryn Ng.
“Pek permulaan disediakan yang dilengkapi dengan buku kerja, penilaian dan templat untuk mereka yang akan bekerjasama dengan kami.
“Secara idealnya, kami menjalankan KidzREAD sebagai program sepanjang tahun dengan sekurang-kurangnya 20 sesi bagi kemampanan dan kesinambungan untuk mendapatkan keputusan yang baik.
“Kita nampak peningkatan daripada segi pembacaan dan penulisan kanak-kanak menerusi minimum 10 sesi,” kata Ng.
Generasi Gemilang melancarkan Jaringan KidzREAD pada 23 April. Latihan disediakan untuk 15 sesi, dalam tempoh 12 bulan, di mana selepas itu rakan kerjasama boleh melaksanakan program KidzREAD serta merta dalam komuniti mereka.
Memandangkan kanak-kanak daripada masyarakat B40 sering kekurangan peralatan dan akses Internet untuk kelas online, NGO itu juga memastikan rakan kerjasama akan menerima sedikit dana untuk memberikan kanak-kanak perkakasan tablet dan data Internet. Namun, peruntukan adalah terhad dan kumpulan komuniti yang amat memerlukan, akan diberi keutamaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Generasi Gemilang Melissa Ngiam berkata jaringan itu akan membolehkan orang lain membantu kanak-kanak memerlukan dalam masyarakat mereka tanpa perlu mendapatkan program baharu.
“Bimbingan menerusi kumpulan kecil, latihan membaca dan buku kerja aktiviti yang menggembirakan, menjadikan pendekatan KidzREAD terbukti berkesan untuk kanak-kanak,” katanya.
Sebelum program itu beralih secara atas talian, pasukan KidzREAD mengadakan sesi pembelajaran di kawasan perumahan kos rendah dan PPR di Taman Putra Damai di Petaling Jaya, Selangor; Taman Prima Selayang, Batu Caves, Selangor, PPR Sri Pantai di Kuala Lumpur dan Pujut Corner di Miri, Sarawak.
Sesiapa berminat untuk menjadi sebahagian daripada Jaringan KidzREAD, boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://www.gengemilang.org/kidzreadnetwork. – 27 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.