Iklan

Anak orang Umno

Hasmi Hashim3 years ago26th May 2021Suara
Iklan

PEKAN Semerah itu pekan kecil. Dua baris kedai di kiri kanan jalan Batu Pahat-Muar. Pekan Semerah adalah sempadan yang memisahkan dua daerah berkenaan.

Walaupun Pekan Semerah pekan yang kecil, ia ada kekuatan tersendiri. Antara kehebatannya ialah Umno yang sangat kuat di Pekan Semerah. Nama “Semerah” dahulunya adalah nama bagi sebuah kawasan parlimen.

Kini nama Parlimen Semerah ditukar menjadi Parlimen Parit Sulong. Begitu juga dengan nama bahagian parti politik, ditukar selaras dan merujuk Parlimen Parit Sulong. Nama Semerah hanya dijadikan nama Dewan Undangan Negeri (DUN), antara dua DUN di bawah Parlimen Parit Sulong.

Waktu awal kemerdekaan Tanah Melayu, namanya Umno Bahagian Semerah.

Ketua Umno Bahagian Semerah ketika itu bekerja dengan datuk saya. Atuk ada enam tujuh biji “kereta angkat passenger”— hari ini mungkin seumpama perkhidmatan Grab. Bezanya waktu itu, kita tidak boleh menempah teksi dengan aplikasi tertentu. Semua perlu menunggu dan mendepa tangan di tepi jalan.

PAS hanya masuk di kawasan kami pada awal 1980-an. Cikgu Harun adalah pendiri Pas Kawasan Semerah. Dia cikgu sekolah. Dia juga terlibat dengan “Perang Banjar” atau lebih dikenali sebagai “Perang Parang Panjang” pada 1945.

Perang itu merupakan pemberontakan orang Melayu terhadap Komunis. Sebelumnya, gerila Komunis selalu mengganggu orang-orang kampung. Mereka merampas terutamanya bekalan makanan untuk dibawa masuk ke dalam hutan.

Ada peristiwa apabila tiada bekalan makanan, keluarga orang Melayu diancam. Pembunuhan pun berlaku sehingga ada anak kecil atau bayi daripada keluarga Melayu yang dirodok dengan “pisau banet”.

Istilah “banet” ialah panggilan tempatan terhadap nama “bayonet”— pisau yang selalu diletakkan di hujung senapang. Rata-rata Komunis yang menyerang penduduk kampung-kampung Melayu  berketurunan Cina.

Dengan begitu, semua orang Cina dikaitkan sebagai Komunis atau bersubahat dengan pasukan gerila di hutan. Atas kejahatan Komunis, orang Melayu bangkit dan melancarkan apa yang saya sebutkan tadi sebagai “Perang Banjar”.

Seusai perang berkenaan, ramai orang dan keluarga Cina lari entah ke mana. Mungkin ke daerah lain atau ke kawasan-kawasan bandar yang dianggap lebih selamat.

Mereka menjual rumah dan tanah.

Rumah keluarga saya di kampung juga didirikan daripada tanah yang asalnya dimiliki seorang Cina. Dibeli oleh atuk saya.

Begitu juga dengan tapak Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan — sekolah Parit Kuda itu — juga dahulunya milik seorang Cina. Tanah itu tapak kandang babi.

Apabila atuk membelinya, dia kemudian mewakafkan sebahagian kawasan tanah sebagai sekolah rendah supaya anak-anak kampung tidak perlu ke tempat lain yang jauh untuk belajar A-B-C atau 1-2-3.

Keluarga kami jarang mendedahkan cerita ini. Sehingga dua tahun lalu, sebuah program menghimpun bekas-bekas pelajar secara besar-besaran diadakan. Sejarah pun dibongkar.

Setiap sejarah ada pemesongan. Dalam sejarah yang diceritakan juga mungkin ada rasa cemburu yang tidak berkesudahan.

Apa yang tidak disebut ialah atuk mewakafkan tanah itu, dan bukan menjualnya — meski diceritakan atuk mengambil wang RM1 ribu sebagai jual-beli tanah sekolah. Wang berkenaan adalah daripada kutipan derma penduduk kampung.

RM1 ribu tidak membuatkan atuk jadi lebih kaya daripada harta yang dicarinya sendiri. Wang berkenaan kalau pun wujud, ia tidak lebih hanya sebagai saguhati dan bukan niat untuk menjual tanah hanya untuk mendirikan sebuah sekolah kepada anak-anak kampung.

Sedangkan ada tanah lain yang juga diwakafkan untuk kesihatan penduduk kampung, dan atuk tidak mengambil sesen pun. Kami enam beradik bersekolah di sekolah yang didirikan atas tanah atuk —yang sebelumnya kandang babi milik Cina; yang dia beli sepertimana pengkisahan saya di atas.

Meski anak saya sendiri belum tentu akan masuk ke sekolah berkenaan, tetapi kebenaran yang keluarga kami simpan ada waktunya perlu diceritakan agar terang dan jelas. Semoga sejarah menjadi lurus — walaupun bagi ramai orang, ia sejarah yang kecil sahaja.

Hanya saya tetap bersyukur, daripada sekolah itu, lahir ramai manusia berguna yang mungkin juga sudah tidak menetap di kampung. Jurutera, doktor, pegawai tinggi kerajaan, guru demi guru dan ratusan lagi golongan profesional.

Apa juga pekerjaan mereka, itu tidak penting. Sekolah pada asalnya tentu bukan melahirkan pekerja profesional, tapi melahirkan manusia: menjadikan manusia sebagai manusia. Itulah matlamat asas sekolah.

Atuk bukan orang Umno. Dia memilih perjuangan hidup bukan dengan jalan politik. Dia tidak pernah bercakap sepatah pun tentang politik. Dia Bahkan tidak bicara bergegar-gegar untuk membela bangsa. Dia mungkin telah melakukannya hanya dengan perbuatannya. Bukan lidahnya.

Kelmarin saya ke pejabat seorang exco kerajaan Selangor. Bertemu pegawai kanan exco berkenaan. Sepanjang perbualan kami, beberapa kali dia menyebutkan nama “Parit Kuda”: kampung kecil saya itu.

Tibalah pada satu saat, saya bertanya, “asyik sebut Parit Kuda sahaja… kau tahu ke tentang Parit Kuda?”

Barulah dia jelaskan, dia berasal dari Pekan Semerah. Bapanya cikgu saya: cikgu yang mengajar geografi dan Bahasa Melayu. Cikgu yang sangat saya hormati.

Cikgu berkenaan selepas pencen, dia aktif dengan kegiatan masyarakat. Dia memang pun Umno. Kemudian menjadi Ketua Umno Cawangan Pekan Semerah.

Baru saya teringat, wajah pegawai kanan exco berkenaan ketika di kampung kami. Dia setahun lebih tua. Dia bersekolah di Sekolah Menengah Semerah sehingga tingkatan tiga sahaja sebelum berpindah ke sekolah vokasional yang entah di mana.

“Macam mana kau boleh masuk Keadilan dan kerja dengan exco Keadilan?”

Dia tak jawab. Dia senyum.

“Kalau cikgu masih hidup, tentu dia akan marah sebab dia Ketua Cawangan Umno. Sekarang kau jadi Keadilan!”

Dia ketawa.

Saya bergurau. Jauh dalam hati saya, saya tahu bapanya takkan begitu. Takkan marah-marah. Bapanya bahkan mungkin berbangga bahawa sebuah perjuangan diteruskan. Semangat Umno yang dahulu, kini berada dalam sebuah parti baharu.

Saya, dia; hanya anak orang Umno. Meski kini bukan lagi. Apa yang abadi, adalah semangatnya. Termasuk untuk anak kampung dari pekan kecil yang tidak pernah terpadam bara perjuangan atuk-nenek kami. – 26 Mei, 2021.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan