Iklan

Slot vaksinasi AstraZeneca ditutup selepas 90 minit

Aminah Farid3 years ago26th May 2021Berita
W 56809062
Lebih sejuta berjaya mendapatkan janji temu walaupun banyak rungutan mengenai sistem pendaftaran. – Gambar EPA, 26 Mei, 2021.
Iklan

PUSINGAN kedua pelancaran vaksinasi AstraZeneca telah ditutup secara rasmi selepas hanya sekitar 90 minit dibuka untuk pendaftaran.

Melalui Twitter, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata tempahan janji temu untuk pusingan kedua Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca kini sudah ditutup.

“Mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat.

“Terima kasih bagi mereka yang mendaftar untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok,” kata JKJAV melalui ciapan di Twitter lebih kurang pukul 1.30 petang.

Pendaftaran itu dibuka untuk umur bawah 60 tahun.

Ramai pengguna media sosial mengeluh kerana menghadapi kesulitan untuk mendaftar, dengan berkata sistem itu “lambat dan mundur.”

MySejahtera turut menyatakan trafik sangat tinggi dalam aplikasi disebabkan pendaftaran vaksinasi itu.

“Pengguna yang dihormati, kami menghadapi trafik yang sangat tinggi di (aplikasi) MySejahtera sekarang. Sebilangan daripada anda mungkin tidak dapat mengakses fungsi tertentu. Sila log masuk kembali bila trafik pulih. Terima kasih.”

Pelancaran yang bermula pada 12.15 tengah hari ini menyaksikan lebih dari 300,000 pendaftaran hanya dalam setengah jam setelah portal dibuka, kata JKJAV.

“Lebih daripada 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua telah dibuat. Kami maklum masih ada yang tidak boleh berbuat demikian. Sila cuba lagi sebentar nanti,” katanya.

Difahamkan, kerajaan telah memperoleh lebih dari 559.200 dos vaksin AstraZeneca untuk program kedua.

Justeru, dengan penghantaran terbaharu, jumlah vaksin AstraZeneca yang diterima dari Covid-19 Vaccine Global Access berjumlah 828,000 dos.

Sehingga semalam, kira-kira 2,583,048 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk.

Angka ini merangkumi dos pertama dan kedua. – 26 Mei, 2021.

Iklan
Iklan