Iklan

Kurang pematuhan SOP punca peningkatan kes Covid-19, kata Dr Mahathir

Ragananthini Vethasalam3 years ago27th May 2021Berita
50810289736 8c2f0fb890 b (1)
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ada kemungkinan negara akan mencatatkan jumlah kematian harian yang lebih tinggi tidak lama lagi jika kurangnya pematuhan SOP Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.
Iklan

PENINGKATAN kes Covid-19 menunjukkan terdapat kekurangan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP), kata Dr Mahathir Mohamad.

Melihat kepada kes harian yang melebihi 7,000 sejak tiga hari terakhir, bekas perdana menteri itu berkata ada kemungkinan negara akan mencatatkan jumlah kematian harian yang lebih tinggi tidak lama lagi.

Dalam catatan di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata kenaikan menunjukkan bahawa SOP kurang berkesan atau sama sekali tidak berkesan.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkongsi kejadian yang disaksikannya.

Dr Mahathir berkata bahawa beliau melihat kira-kira 20 pekerja kontrak dalam barisan dengan tiada penjarakan fizikal ketika mereka menunggu bas.

“Ada yang pakai pelitup ke bawah dagu dan mungkin juga satu dua tak pakai pelitup langsung.

“Saya tak fikir mereka sudah disuntik. Tetapi yang jelas ialah mereka tidak ikut SOP. Cara mereka dekat diri antara mereka tetap memudahkan jangkitan.

“Saya percaya ditempat-tempat kerja lain pun cara pekerja abaikan SOP tentu begitu,” katanya sambil menyedari ketiadaan penyelia untuk mengingatkan mereka bagi mengikuti SOP.

Dr Mahathir berkata kurangnya penjarakan fizikal juga menjadi masalah dalam kalangan pekerja di pusat membeli-belah dan mereka yang meninggalkan masjid selepas solat sambil menambah bahawa walaupun tidak ada masalah dengan SOP, masalahnya terletak pada kurangnya pematuhan.

“Saya berpendapat pihak polis dan frontliners lain perlu tentukan jarak sosial diamal dengan baik.

“Memandang bahawa virus ini boleh ditiup angin, adalah lebih baik jarak perpisahan sejauh dua meter,” katanya.

Walaupun ekonomi mungkin merosot akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya, Dr Mahathir berkata kemerosotan ekonomi jauh lebih baik dari kehilangan banyak nyawa.

“Saya tak hendak komen bagaimana darurat berkesan dalam pengawalan wabak COVID-19,” katanya merujuk kepada undang-undang darurat yang dikuatkuasakan pada 12 Januari bagi membantu kerajaan memerangi wabak tersebut.

Malaysia hari ini mencatatkan 7,857 kes baharu Covid-19 melebihi jumlah tertinggi 7,478 semalam, menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 541,224.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut jumlah harian melebihi 7,000. – 27 Mei, 2021.

Iklan
Iklan