Inisiatif MDEC rancak jualan dalam talian semasa pandemik
Iklan
KEMPEN ‘Shop Malaysia Online’ membabitkan lebih 200,000 penjual tempatan berjaya merekodkan jualan dalam talian berjumlah RM945 juta tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri.
Beliau berkata program e-dagang yang dilancarkan bermula 1 Ogos hingga akhir September 2020 itu menarik lebih 8 juta pelanggan dan meraih pulangan pelaburan 21 kali ganda kepada kerajaan.
Kempen tersebut antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), bertujuan untuk untuk memacu pemulihan ekonomi negara dengan mendorong serta menggalakan rakyat berbelanja secara dalam talian.
Surina memberitahu The Malaysian Insight inisiatif-inisiatif lain yang dilancarkan untuk menyokong perniagaan tempatan menghadapi cabaran krisis Covid-19 juga mendapat sambutan luar biasa.
Selain kempen ‘Shop Malaysia Online’, sebanyak 7,683 geran diberi di bawah Geran Padanan Digitalisasi Perniagaan PKS, manakala 93,000 mikro PKS mendapat manfaat melalui Pembiayaan Mikro Penjana serta Kempen E-dagang Perusahaan Mikro Dan PKS yang merekod jualan berjumlah RM929 juta.
Jumlah syarikat yang menyertai e-dagang untuk tujuan eksport juga meningkat dari 1,800 to 27,000, menarik pelaburan bernilai RM1.5 bilion menerusi hab e-penunaian (e- Fulfillment) serantau.
Sementara itu, sebanyak 489,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerapkan e-dagang dalam perniagaan mereka, manakala 378,000 lagi dilatih dalam e-dagang sehingga akhir tahun lalu.
Antara program lain yang berjaya dilancarkan MDEC tahun lalu termasuklah PeDAS, eUsahawan, eRezeki and GLOW.
Program Global Online Workforce (GLOW) yang dilancarkan bagi memanfaatkan pekerja bebas atau freelancer di negara ini berjaya menarik 54,000 peserta dan menjana pendapatan berjumlah RM232 juta.
Program eRezeki pula menjana RM1.11 bilion kepada 339,000 peserta yang mendaftar dibawahnya. Program ini membolehkan keluarga berpendapatan bawah RM4000 sebulan menjana pendapatan tambahan melalui beberapa tugasan digital ringkas.
“Ketika ekonomi global sedang pulih dari pandemik, digitalisasi akan memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, seterusnya menambah jumlah pekerjaan yang memerlukan kemahiran digital,” kata Surina, menambah rakyat perlu celik digital supaya dapat menyesuaikan diri dalam ekonomi digital. – 28 Mei, 2021.