Iklan

Kes harian Covid-19 boleh cecah 10,000, kata pakar kesihatan

Ragananthini Vethasalam3 years ago29th May 2021Berita
Covid-19 corona virus pandemic maeps pkrc 08
Jumlah kes harian Covid-19 boleh mencecah sehingga 10,000 dengan cepat jika kadar kebolehjangkitan (RO) tetap di atas 1.0. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.
Iklan

ANGKA harian Covid-19 boleh mencecah sehingga 10,000 dengan cepat berdasarkan situasi kes semasa, kata pakar kesihatan.

Malaysia menyaksikan jumlah kes harian yang tidak dijangka dengan jumlah kes semalam melebih angka 8,000.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata, jumlah harian mungkin boleh mencecah 10,000 kes jika kadar kebolehjangkitan (RO) tetap di atas 1.0.

Beliau berkata bahawa kes yang dilaporkan ketika ini adalah kes yang berlaku sejak dua minggu lalu.

“Dengan RO lebih tinggi dari 1.0, kes-kes di komuniti kini seharusnya dua, tiga kali lebih tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjangkakan lebih banyak kes dalam beberapa hari mendatang dari kluster Hari Raya dan saringan baharu.

Hari Raya pada 13 dan 14 Mei. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula pada 12 Mei.

Kunjungan Hari Raya, bagaimanapun dibenarkan tetapi dalam keadaan ketat seperti larangan mengadakan perjumpaan besar, jamuan makan dan rumah terbuka serta had jumlah orang di sebuah rumah pada satu-satu masa dan dari dalam daerah yang sama.

PKP 3.0 dijadualkan berakhir pada 7 Jun tetapi Putrajaya malam tadi mengumumkan sekatan penuh dari 1 sehingga 14 Jun dengan tambahan empat minggu lagi sekiranya kes tidak berkurangan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pada 12 Mei bahawa jumlah kes harian melebihi 10,000 jika tidak ada apa yang dilakukan bagi mencegah penyebaran varian berjangkit.

Beliau merujuk pada varian dari India, UK, Brazil dan Afrika Selatan.

Varian India, UK dan Afrika Selatan dikesan di Malaysia, menambah kebimbangan bahawa strain ini akan terus meningkatkan jumlah jangkitan ditambah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah.

Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Malina Osman juga bersetuju bahawa angka 10,000 kes harian mungkin berlaku jika RO kekal tinggi.

“Dengan angka terkini mengenai kes dan RO, 10,000 (kes sehari) mungkin berlaku.

“Itu bergantung pada RO dan juga langkah drastic oleh masyarakat kita untuk melaksanakan PKP kendiri.

“Kita perlu berdepan kenyataan. Tidak banyak yang dapat kita lakukan ketika ini kecuali mengikut nasihat Kementerian Kesihatan dan mengamalkan PKP kendiri,” katanya.

RO di seluruh negara pada 27 Mei adalah 1.14 dengan 8,290 kes dilaporkan semalam. – 29 Mei, 2021.

Iklan
Iklan