Iklan

51 kluster Covid-19 akibat rentas negeri, kata KP Kesihatan

Ragananthini Vethasalam3 years ago29th May 2021Berita
Covid-19 traffic raya 20200521 hasnoor 020
Sebanyak 20 kluster yang berpunca daripada pergerakan rentas negeri dilaporkan antara 1 April hingga 28 Mei dengan membabitkan 1,420 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.
Iklan

AKTIVITI rentas negeri sejak 7 Disember mencetuskan 51 kluster Covid-19 dengan melibatkan 6,468 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Susulan perkembangan membimbangkan itu, beliau menggesa orang awam agar tidak melakukan perjalanan yang tidak penting.

Katanya antara penyumbang kluster itu termasuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, kunjungan ke rumah saudara, menghadiri majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, pengkebumian dan kursus.

Pergerakan rentas negeri dibenarkan dalam tempoh itu sebelum larangan dikuatkuasakan pada 10 Mei tahun ini susulan peningkatan kes jangkitan.

Sebanyak 20 kluster yang berpunca daripada pergerakan rentas negeri dilaporkan antara 1 April hingga 28 Mei dengan membabitkan 1,420 kes.

Dr Noor Hisham berkata negara kini turut berdepan cabaran dengan kewujudan kluster komuniti terutamanya subkluster perayaan.

Katanya sejak 13 hingga 28 Mei 2021, sebanyak 26 kluster yang berpunca dari sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Untuk makluman, seramai 4,047 individu telah disaring yang mana sebanyak 1,019 kes telah dikenalpasti positif dalam kluster-kluster ini, iaitu kadar positiviti 25.1 peratus. Daripada jumlah kes positif tersebut, dua kematian telah dilaporkan sehingga kini dan satu kes sedang mendapatkan rawatan di ICU.

“Adalah dijangkakan jumlah kes dan bilangan kluster-kluster ini akan bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri serta daerah.

“Meskipun kerajaan telah menetapkan bahawa ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan, namun masih ramai yang tidak endah larangan ini yang mengakibatkan tercetusnya kluster-kluster baru Covid-19 sehingga ada yang mengakibatkan kes maut,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai agar tidak melakukan kesilapan sama bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.

“Aktiviti merentas daerah, negeri, kunjung-mengunjung atau perhimpunan sewaktu perayaan tidak sepatutnya berlaku sama sekali dengan pelaksanaan total lockdown bermula pada 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021.” – 29 Mei, 2021.

Iklan
Iklan