Bantuan ekonomi baharu penting hadapi sekatan pergerakan, kata pakar
Iklan
KERAJAAN perlu menyediakan pakej bantuan ekonomi yang lebih besar bagi membantu perniagaan dan individu yang terkesan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, kata pakar.
Pemberhentian pekerja, bankrupsi dan penutupan perniagaan mungkin meningkat kesan daripada sekatan pergerakan penuh yang akan berkuatkuasa mulai 1 Jun, tambah mereka.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, sekatan pergerakan akan memberi kesan kepada isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas seperti dalam sektor perniagaan kecil dan mereka yang terlibat dalam peruncitan, makanan dan minuman serta industri berkaitan pelancongan.
Mereka juga mengatakan bahawa Putrajaya mempunyai ruang fiskal untuk mewujudkan pakej rangsangan ekonomi yang sangat berkesan.
Pensyarah Ekonomi Sunway University Business School Dr Yeah Kim Leng berkata mereka yang sudah terkesan akibat kemelesetan ekonomi kesan daripada PKP sebelum ini dan Covid-19 akan terjejas dalam jangka masa panjang kerana aktiviti domestik dibendung.
“Kesan tidak berimbang terhadap PKS dan isi rumah berpendapatan rendah terutama yang bekerja sendiri dan mereka yang berkaitan dengan sektor-sektor yang tergugat seperti peruncitan, hotel dan restoran, industri hiburan dan pelancongan akan ditonjolkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Walaupun pemulihan ekonomi tetap berjalan seperti yang ditunjukkan oleh penguncupan KDNK 0.5% pada suku pertama, kesan berpanjangan terhadap isi rumah dan perniagaan yang rentan di sektor yang terkesan akan memerlukan langkah-langkah mitigasi lebih lanjut yang harus dilakukan oleh kerajaan.
“Moratorium pinjaman merupakan salah satu langkah bantuan,” tambahnya.
Dr Yeah berkata kerajaan masih memiliki ruang fiskal untuk mewujudkan pakej rangsangan ekonomi dengan meningkatkan perbelanjaan defisit dan menampung tahap hutang yang lebih tinggi.
“Peningkatan perbelanjaan defisit atau hutang kurang dari 1% dari KDNK berada dalam kemampuan fiskal kerajaan. Sebagai alternatif, kerajaan dapat melihat pengagihan semula peruntukan belanjawan dari bidang kurang penting,” tambahnya.
“Sebaik sahaja ekonomi kembali normal, kerajaan dapat melakukan strategi penggabungan fiskal yang lebih agresif untuk mengimbangi kesan Covid-19 yang tidak dijangka ini lebih dari satu tahun pandemik,” tambahnya.
Sejak wabak bermula, kerajaan memperuntukkan RM340 bilion menerusi beberapa pakej bantuan ekonomi. Selain itu, RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021. – 31 Mei, 2021.
Berita penuh di sini