Iklan

Belanja besar untuk gaya hidup, ada tabungan untuk kecemasan?

Yasmin Ramlan7 years ago12th Jan 2018Berita
Budget 2018 nazir 08
Ramai di kalangan anak muda berbelanja untuk gaya hidup sebagai ganjaran kepada diri sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.
Iklan

RAMAI di kalangan anak muda berbelanja untuk gaya hidup sebagai ganjaran kepada diri sendiri, tetapi adakah mereka mempunyai wang simpanan yang cukup pada waktu kecemasan?

Perbelanjaan ini meliputi barangan elektronik, fesyen, kesihatan dan kecantikan. Malah setiap tahun, golongan ini akan berusaha untuk bercuti di luar negara.

Pengurus di Jabatan Pendidikan Kewangan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Desmond Chong berkata ini antara faktor yang mendorong golongan muda dihimpit hutang.

“Mereka akan tanya kita semula, apa gunanya kerja. Mereka mahu beri ganjaran pada diri mereka, dapatkan pendedahan (tentang dunia luar), lawat banyak negara.

“Kami beri nasihat, bukan tidak boleh buat semua itu tapi mereka kena utamakan apa yang penting dalam hidup mereka dulu.

“Fokuskan kepada perbelanjaan harian dan kalau ada lebihan simpanan baru boleh pergi bercuti,” kata Chong.

Golongan daripada peringkat umur antara 30 hingga 49 tahun ini membentuk kelompok paling besar daripada keseluruhan 683,169 warga Malaysia yang menerima kaunseling AKPK.

Chong berkata kebanyakan anak muda yang datang berjumpa pegawai AKPK untuk mendapatkan nasihat kewangan tidak membuat perancangan bajet sendiri.

Perbelanjaan golongan muda masa kini termasuk barangan elektronik, fesyen, kesihatan dan kecantikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

Golongan ini juga memberi alasan tidak mendapat pengetahuan yang betul untuk mengurus wang, katanya.

The Malaysian Insight menemui beberapa orang warga muda untuk mengetahui betapa serius keadaan ini.

Seorang kaki melancong, Shahriman Azmi, 35, berkata beliau pernah menghabiskan RM6,000 untuk bercuti ke Turki selama dua minggu.

Pengurus bank yang berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan itu mengakui kos itu terlampau tinggi untuk sesetengah orang.

Namun, katanya ia bukan satu pembaziran kerana beliau memperoleh pengalaman yang bermakna di Turki.

“Saya tak rasa buang duit. Mungkin ada yang cakap duit sebanyak itu boleh buat macam-macam. Tapi saya lebih gemar laburkan duit itu pada pengalaman. Ia lebih kepada beri ganjaran kepada diri sendiri,” katanya.

Katanya, beliau tidak pernah mengikat perut atau membuat pinjaman semata-mata untuk pergi melancong.

Kebanyakan golongan kaki jalan berkata bercuti di luar negara bukan satu pembaziran kerana yang penting ialah pengalaman yang diperoleh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

Shahriman berkata beliau akan menyimpan wang dari tempoh enam bulan hingga setahun sebelum perjalanan, bergantung kepada jumlah perbelanjaan.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana terpaksa mengeluarkan dividen simpanan Amanah Saham Bumiputera dan Tabung Haji untuk membayar ansuran bulanan rumah.

“Setakat ini memang saya tidak buat pinjaman peribadi untuk melancong. Tapi saya menyesal sebab pernah keluar duit ASB dan Tabung Haji untuk bayar ansuran rumah sebab tiba-tiba duit tidak cukup pada bulan itu.

“Saya tidak pernah ikat perut untuk pergi melancong tapi ikat perut sementara menunggu gaji,” katanya berseloroh.

Seorang lagi kaki melancong, Norhalimah Fuzi, berkata beliau sanggup berbelanja untuk bercuti ke luar negara lebih tiga kali setahun selain untuk aksesori wanita dan makan di luar.

Beliau turut minat menyelam di laut dan akan berbelanja sehingga RM1,500 untuk aktiviti selaman selama tiga hari dua malam.

Juruukur bahan berusia 31 tahun itu berkata, beliau tidak melakukan kegiatan itu untuk menunjuk-nunjuk tetapi bagi kepuasan diri sendiri.

Beliau berpendapatan hampir RM8,000 sebulan dan akan menyimpan 10% dari gajinya, iaitu kurang RM1,000 setiap bulan.

Norhalimah berkata beliau juga menampung perbelanjaan untuk percutiannya dengan mengeluarkan dividen daripada simpanan ASB setiap tahun.

“Selalunya kalau hendak pergi berjalan-jalan saya akan pastikan duit cukup. Kalau ada duit lebih barulah pergi berjalan-jalan. Kalau tidak, duduk rumah sajalah,” katanya.

Walau dengan perancangan bajet seperti itu, beliau tetap berdepan situasi cemas kerana tidak cukup duit untuk kegunaan semasa kecemasan.

“Selalunya sebab terlebih pakai bila melancong kerana (perbelanjaan melebihi) bajet. Pernah juga kadang-kadang terpaksa pinjam duit kawan,” kata Norhalimah.

Bentuk mata pencarian pada masa kini bukan hanya terikat kepada pekerjaan makan gaji yang menjanjikan pendapatan tetap setiap bulan.

Seorang karyawan yang ditemui The Malaysian Insight memberitahu, beliau kadang kala terpaksa mengikat perut sementara menunggu bayaran daripada pelanggan.

Ezrin Nazan seorang juruvideo berkata, beliau sudah biasa mengikat perut dan mengehadkan perbelanjaan seharian sekiranya peruntukan bulanannya “lari”.

Beliau berkata, bajetnya tidak mencukupi kerana banyak dihabiskan kepada kelengkapan kamera dan melancong.

Oleh itu, Ezrin, 29, akan memotong 50% dari perbelanjaan harian beliau untuk berjimat.

“Dari RM50 sehari untuk petrol, tol dan makan minum (dikurangkan) kepada RM25 sehari. Saya juga hadkan jarak atau lokasi penggambaran video.

“Ikat perut banyak kali, sebab belum dapat bayaran daripada pelanggan,” katanya yang meraih pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.

Namun, sekiranya ingin pergi melancong, beliau akan membuat kerja tambahan seperti lakukan kerja sampingan sebagai jurufoto dan menyunting video pada hari minggu.

Beliau turut mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM500 termasuk penginapan, makan dan minum untuk percutian tiga hari dua malam.

Adrieanna Kamarullzaman, 24, berkata beliau juga tidak mempunyai simpanan tetap dan ada kalanya tiada simpanan kecemasan pada bulan tertentu.

Namun, katanya beliau yang tinggal bersama keluarga tidak pernah terdesak sehingga terpaksa meminjam dari rakan sekeliling atau membuat pinjaman peribadi.

Statistik AKPK menunjukkan, seramai 683,169 menerima kaunseling dari agensi terbabit setakat tahun lalu dengan 43.3% mengakui perancangan kewangan mereka lemah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

Setiausaha eksekutif dengan pendapatan RM3,000 sebulan itu berkata beliau tiada komitmen bulanan yang besar seperti bayaran kereta atau rumah.

Katanya, peruntukan perbelanjaan hanya untuk pengangkutan, makanan dan pinjaman pendidikan dan akan menyimpan sekurang-kurangnya 20% dari gajinya setiap bulan.

“Belanja untuk diri sendiri kadang-kadang ada mekap, baju, kasut, beg tapi bukan setiap bulan. Pergi makan luar termasuk juga.

“Pernah tak ada duit simpanan bila kecemasan. Sebab saya kena tanggung bayaran lain,” katanya.

Mengulas keadaan itu, perancang kewangan Robert Foo memberitahu The Malaysian Insight, tiada angka yang tetap bagi simpanan seseorang itu kerana ia bergantung kepada keperluan mereka.

Namun, yang penting adalah seseorang itu perlu merancang perbelanjaan masa akan datang terutamanya penyediaan wang kecemasan, katanya.

Foo berkata tiada jumlah tetap yang perlu disimpan kerana individu tersebut perlu memahami corak perbelanjaan mereka sendiri.

“Dari situ anda akan dapat kenal pasti berapa banyak perlu menyimpan dan berapa jumlah nilai bersih yang anda sepatutnya ada di setiap fasa kehidupan.

“Kenal pasti perbelanjaan kecemasan yang akan anda akan hadapi seperti baiki kereta, kemalangan, wang kecemasan untuk perubatan anda dan keluarga.

“Kemudian anda boleh menganggarkan berapa banyak wang yang perlu disimpan untuk kecemasan,” katanya.

Statistik yang diperoleh The Malaysian Insight daripada AKPK menunjukkan, seramai 683,169 menerima kaunseling dari agensi terbabit setakat tahun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 43.3% mengakui mereka terpaksa mendapatkan khidmat AKPK kerana perancangan kewangan yang lemah.

Selain itu, 21.8% mendapat khidmat AKPK akibat kos sara hidup yang tinggi dan selebihnya akibat kegagalan perniagaan (14.5%), kehilangan pekerjaan (9.4%) serta tanggungan kos perubatan tinggi (8.8%). – 12 Januari, 2018.

Iklan
Iklan