Suruhanjaya integriti siasat dakwaan Hamid Bador, kata ketua polis negara
Iklan
SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menyiasat isu ‘kartel’ dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) seperti yang didakwa oleh Abdul Hamid Bador, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Kata Acryl, pihaknya telah menulis surat kepada suruhanjaya berkenaan untuk mengambil alih siasatan, dan untuk memulakan siasatan segera.
“Saya serius dan sedia maklum dakwaan berlaku isu kartel dalam PDRM, jadi kita sudah menulis surat mempelawa EAIC untuk menyiasat perkara ini dengan segera dan mereka sedang meneliti permintaan kami dalam hal ini.
“Kami tak boleh menyiasat sebab ia hanyalah tohmahan dan hanya pihak ketiga yang boleh menyiasat dan memberi keputusan yang mana EAIC satu suruhanjaya bebas dan mempunyai reputasi yang baik serta berupaya mengendalikan hal ini,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Tegas Acryl, pihak polis tidak akan campur tangan dalam siasatan itu.
“Kami hands off (tidak terlibat) dalam perkara ini, biar mereka datang dan siasat secara telus kerana dari dulu hingga sekarang PDRM ialah anggota masyarakat,” katanya.
Menurut Acryl, polis sentiasa mematuhi cogan kata ‘Kita Sedia Berkhidmat’ berlandaskan disiplin dan integriti.
“PDRM tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dan sentiasa menyeru anggota PDRM tidak melupakan cogan kata Sang Saka Biru dan lambang yang sentiasa dibawa dari mula melangkah ke dalam pusat latihan sehingga bersara nanti,” katanya.
Menjelang persaraannya pada awal Mei, Abdul Hamid mendedahkan wujud komplot dalam pasukan polis yang mahu menguasai kedudukan dalam PDRM.
Beliau juga mendakwa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin campur tangan dalam urusan pertukaran pegawai kanan polis. – 31 Mei, 2021.