Sektor swasta mesti ada dokumen MITI mulai esok, kata KPN
Iklan
SEMUA sektor ekonomi yang dibenar beroperasi pada sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh perlu mendapatkan surat kebenaran baharu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Katanya, dokumen kebenaran pergerakan itu perlu menunjukkan tarikh kuat kuasa bermula 1 Jun dan mana-mana dokumen kebenaran sebelum ini tidak sah.
“Dokumen yang berdaftar dengan MITI ini seharusnya mempunyai satu tarikh yang mula berkuat kuasa esok dan sebarang dokumen kebenaran dikeluarkan sebelum tarikh ini adalah tidak sah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Acryl Sani berkata, pekerja swasta yang terlibat dengan sektor perkhidmatan perlu mesti mempunyai dokumen berdaftar dengan MITI.
Bagi penjawat awam pula, mereka perlu mengemukakan dokumen daripada ketua jabatan yang mengarahkan mereka bertugas di pejabat, tambahnya.
“Kerajaan sebelum ini memaklumkan, hanya 20 peratus kakitangan awam dibenarkan bekerja di pejabat, manakala selebihnya diarahkan bertugas dari rumah.
“Jika sebelum ini penjawat awam hanya menunjukkan pas kerja untuk berada di jalan raya, namun pada kali ini mereka harus menunjukkan dokumen arahan daripada ketua jabatan masing-masing,” katanya.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam sidang khas hari ini memutuskan sebuah pusat sehenti yang diselaraskan oleh MITI diwujudkan untuk mengeluarkan surat kebenaran beroperasi untuk sektor ekonomi perlu selepas mereka mendapat pengesahan daripada kementerian yang mengawal selia sektor berkenaan.
Semalam, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan MKN bahawa semua surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan MITI selama ini akan terbatal mulai esok, serentak dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sehingga 14 Jun.
Ismail berkata semua pekerja di sektor perkhidmatan yang dibenarkan bekerja perlu mendapatkan surat kebenaran baharu daripada kementerian berkaitan dengan sektor mereka.
Beliau memberi contoh mereka yang bekerja di bidang pertanian perlu memohon dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Jalan sesak
Dalam pada itu, Acryl Sani memberi bayangan akan berlaku kesesakan jalan raya mulai esok di sekatan jalan raya yang diadakan seluruh negara, yang boleh menjejaskan waktu perjalanan.
Ini kerana polis akan membuat pemeriksaan lebih terperinci di setiap sekatan jalan raya, katanya, bagi meneliti dokumen sokongan yang mewajarkan setiap orang bergerak.
“Justeru akan berlaku kesesakan di sekatan jalan raya itu tidak dapat dinafikan.
“Jadi jika tidak ada keperluan terdesak untuk bergerak, seboleh-bolehkan tangguhkan pergerakan itu bagi memberi laluan kepada orang lain,” katanya.
Sekatan pergerakan penuh fasa pertama dikuatkuasakan esok selepas kes harian Covid-19 naik dengan mendadak dari hari ke hari sejak lebih seminggu lalu, sehingga sempat mencecah lebih 9,000.
Pertambahan jumlah kes yang luar biasa itu memberi tekanan kepada sistem dan petugas kesihatan, kata Kementerian Kesihatan. – 31 Mei, 2021.
MENYUSUL