Iklan

Semakin ramai dapatkan makanan percuma, kata sukarelawan

Hailey Chung Wee Kye3 years ago1st Jun 2021Berita
Muzi canteen food queue-2
Kantin Mu Zi, yang menyediakan makanan percuma di Kepong sejak Oktober tahun lalu, berkata jumlah makanan percuma yang diedarkan semakin bertambah setiap bulan. – Gambar ihsan Kantin Mu Zi, 1 Jun, 2021.
Iklan

SEMAKIN ramai orang yang hilang mata pencarian atau berdepan masalah kewangan akibat Covid-19 mendapatkan makanan percuma sejak akhir-akhir ini, kata sukarelawan.

Permintaan dari golongan yang terjejas ini semakin bertambah lantaran sukar bagi mereka untuk menyediakan makanan untuk keluarga atas kekangan ekonomi, menurut kumpulan sukarelawan yang ditemui The Malaysian Insight.

Malah permintaan dijangka akan meningkat susulan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu berkuatkuasa hari ini.

Kantin Mu Zi, yang menyediakan makanan percuma di Kepong sejak Oktober tahun lalu, berkata jumlah makanan percuma yang diedarkan semakin bertambah setiap bulan. Paling banyak apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan pada awal Mei.

Kantin itu pada mulanya menyediakan 300 bungkus makanan percuma sehari, tetapi kini bertambah kepada 800 bungkus, kata pengasasnya Lee Chee Kong.

Lee, 43, berkata rata-rata yang datang ke kantinnya itu hilang pekerjaan sejak pandemik melanda.

“Kebanyakannya tidak mempunyai kerja tetap, mereka bekerja sebagai tukang bersih dan pembantu restoran.

“Bagaimanapun, banyak kedai makan terpaksa tutup atau beralih kepada operasi dalam talian, jadi majikan terpaksa berhentikan pekerja,” katanya.

Selain gelandangan, kantin mereka juga sering didatangi keluarga besar atau yang mempunyai ahli keluarga kurang upaya.

Kantin Mu Zi menyediakan makanan percuma dengan kerjasama restoran vegetarian di luar Kuala Lumpur.

“Baru-baru ini, kami menyedia dan menghantar makanan untuk 1,000 orang. Masing-masing 100 bungkus diagihkan ke Sekinchan dan Tanjung Karang di Selangor, manakala 800 bungkus di Kantin Mu Zi sendiri.

“Di Kepong, makanan dimasak oleh sukarelawan kami sendiri. Di kawasan lain seperti Bukit Mertajam di Pulau Pinang; Johor Bahru di Johor dan Ipoh di Perak, makanan di masak dan dihantar oleh restoran vegetarian, dan kosnya ditanggung oleh kantin kami,” kata Lee.

Lee yang juga seorang usahawan berkata, Kantin Mu Zi ditubuhkan menggunakan wang simpanannya dan sumbangan rakan-rakan.

Kos operasi Kantin Mu Zi bergantung kepada sumbangan orang ramai, dan Lee akan menokok dengan wangnya sendiri apabila keadaan memerlukan.

“Apabila PKP semakin ketat, kami mula kekurangan sukarelawan. Biasanya cukup, tetapi kerja sekarang sudah bertambah.”

Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur mengedarkan makanan di Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit. – Gambar ihsan Ar-Riqab, 1 Jun, 2021.

Bagi pengasas Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur Nor Akmar Ali, sebanyak 300 hingga 400 bungkus makanan percuma yang diagihkan setiap hari tidak cukup untuk memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan yang semakin bertambah.

Noor Akmar berkata pertubuhannya dan kumpulan suskarelawan lain mengedarkan makanan di Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit atas kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya tengok semakin ramai yang jadi gelandangan sekarang. Ada yang menyewa bilik sebelum PKP 3.0, tetapi sekarang dah tak mampu.

“Ada juga yang masih ada tempat tinggal, tetapi tak cukup duit nak beli makanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pertubuhan The Hope Branch yang diasaskan pelawak terkenal Harith Iskander dan isterinya Dr Jezamine Lim pula berkata, kebanyakan makanan percuma diedarkan kepada gelandangan lelaki berusia 45 ke atas.

Pertubuhan itu ditubuhkan pada 23 Mac tahun lalu bagi membantu orang ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Jumlah mereka makin bertambah sejak PKP 2.0 (sejak awal Januari) ekoran semakin ramai yang terjejas akibat Covid-19.

“Sekarang kami edar hampir 500 bungkus makanan sehari, berbanding sekitar 250 hingga 300 bungkus sehari sebelum ini,” kata Harith. – 1 Jun, 2021. 

 Pertubuhan The Hope Branch yang diasaskan pelawak terkenal Harith Iskander dan isterinya Dr Jezamine Lim. – Gambar ihsan The Hope Branch, 1 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan