Bekas pesakit Covid-19 perlu divaksin, kata Dr Noor Hisham
Iklan
BEKAS pesakit Covid-19 perlu divaksin bagi melindungi mereka daripada dijangkiti semula, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Pesakit yang sembuh akan mempunyai antibodi namun tidak diketahui sejauh mana kekuatannya dan berapa lama imun ini bertahan.
Dr Noor Hisham memberitahu The Malaysian Insight risiko untuk dijangkiti semula sejurus selepas sembuh oleh virus yang sama jarang berlaku.
“Kajian di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Denmark menunjukkan perlindungan 80% hingga 90% daripada jangkitan semula untuk tempoh kira-kira enam hingga lapan bulan.
“Namun kekuatan tindak balas imun ini tidak diketahui. Oleh itu, sesiapa yang sembuh daripada Covid-19 perlu divaksin bagi mendapatkan perlindungan dengan tahap imuniti humoral atau selular yang tinggi,” katanya.
Tambahnya bekas pesakit Covid-19 yang sembuh sudah diinokulasi terhadap koronavirus.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyatakan bekas pesakit Covid-19 akan menerima tindak balas imun dalam seminggu pertama selepas pulih naun badan kesihatan dunia itu juga bersetuju bahawa kekuatan dan berapa lama ia bertahan masih tidak diketahui.
Tambahnya tindak balas imun juga berbeza antara individu.
“Sudah ada beberapa contoh individu yang dijangkiti SARS-CoV-2 kali kedua, yang menjadikan vaksinasi lebih penting,” tambahnya.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) juga menyatakan individu yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini mungkin masih mendapat faedah daripada vaksinasi.
Tempoh masa
Dr Noor Hisham berkata panduan klinikal yang disyorkan ketika ini adalah individu yang sembuh daripada Covid-19 perlu menunggu tiga bulan selepas pulih sebelum mendapatkan vaksin.
Oleh kerana pesakit masih mempuntai antibodi, ia adalah tindakan bijak untuk menyasarkan mereka yang belum dijangkiti untuk fokus kepada mencapai imuniti kelompok.
“Adalah bijak untuk memvaksinasi orang yang tidak dijangkiti daripada mereka yang baru saja sembuh dari Covid-19 dalam 90 hari terakhir,” katanya.
“Bagi individu yang menerima rawatan Covid-19 dengan antibodi monoklonal atau plasma pemulihan, vaksinasi harus ditangguhkan selama 90 hari.”
Kajian sedang dijalankan untuk memahami impikasi pengurangan perlindungan terhadap pesakit yang sembuh daripada Covid-19 berikutan kemunculan varian baharu virus.
“Tempoh masa untuk vaksin penuh kepada pesakit pulih juga perlu dikemaskini selepas terdapat bukti baharu,” katanya.
Di Malaysia, setakat 1 Jun, lebih tiga juta dos vaksin Covid-19 diedahkan. Daripada jumlah itu, 2,002,345 adalah penerima dos pertama dan 1,104,873 penerima dos kedua.
Malaysia menggunakan tiga vaksin Covid-19 iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZenec. Yang masih menunggu kelulusan adalah vaksin CanSinoBIO dan SputnikV.
Menurut Our World in Data, setakat 31 Mei Malaysia telah memvaksinasi 3.45% penduduknya. – 3 Jun, 2021.