Iklan

Tangkap warga asing untuk beri vaksin, kata Hamzah

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago3rd Jun 2021Berita
Hamzah zainudin 20210603 tmihasnoor 002
KDN sudah berbincang dengan beberapa kedutaan asing yang bersedia untuk membantu proses menyediakan dokumen perjalanan warganegara masing-masing, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Jun, 2021.
Iklan

KERAJAAN mahu memberi warga asing tanpa dokumen vaksin Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, ketika menjelaskan alasan pihak berkuasa menjalankan operasi besar-besaran menahan mereka sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang bermula minggu ini.

Katanya, tanpa dokumen yang sah, mereka tidak boleh diberikan vaksin.

“Macam rakyat Malaysia sendiri, kita memerlukan dokumen untuk mendaftar dalam program vaksinasi kebangsaan. Tetapi, mereka ini tiada dokumen… macam mana kita hendak bantu mereka.

“Jadi, melalui operasi ini, sebaik ditahan, kami akan mengesan majikan asal mereka dan meminta mereka menjadi penaja untuk berhubung dengan kedutaan masing-masing bagi mendapatkan dokumen yang sah,” katanya pada sidang media di Depot Imigresen Sementara Millennium di Beranang.

Operasi itu juga untuk melindungi hak warga tempatan kerana warga asing berkenaan tidak akan mendapatkan vaksin sekiranya mereka tidak ditahan, tambah Hamzah.

“Jadi ini adalah perancangan terbaik untuk memberikan vaksin kepada mereka,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengadakan lawatan ke Depot Imigresen Sementara Millennium di Beranang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Jun, 2021.

Hamzah menjelaskan pihak kementerian sudah berbincang dengan beberapa kedutaan asing yang bersedia untuk membantu proses menyediakan dokumen perjalanan warganegara masing-masing.

“Bagi yang tiada penaja atau majikan, kami ada caranya untuk dapatkan dokumen bagi mereka supaya layak untuk mendapat vaksin Covid-19,” katanya.

Selepas mendapatkan dokumen perjalanan yang sah, warga asing itu boleh memilih sama ada kekal bekerja secara sah di Malaysia atau balik ke negara asal.

“Itu adalah proses seterusnya, yang penting sekarang kita bantu mereka dapatkan dokumen pengesahan diri dahulu,” katanya.

Dua kumpulan ahli Parlimen, wakil rakyat dan pakar kesihatan sebelum ini menggesa kerajaan memikirkan semula rancangan pihak berkuasa menjalankan operasi besar-besaran menahan pendatang tanpa izin sepanjang sekatan pergerakan penuh sekarang.

Mereka khuatir langkah itu akan menyebabkan penularan jangkitan tidak terkawal, sama seperti yang pernah berlaku di pusat tahanan pada penghujung tahun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud juga sebelum ini mempertahankan operasi yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata pendatang asing tanpa izin tidak akan ditahan sekiranya mereka datang untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Katanya kerajaan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk majikan, badan masyarakat dan kedutaan asing untuk menggalakkan pekerja asing dan pelarian mendaftar untuk vaksin. – 3 Jun, 2021. 

Iklan
Iklan