Syarikat perlu bijak ramal apa bakal berlaku, kata pakar
Iklan
KEBANYAKAN syarikat Malaysia mengambil “pendekatan cara lama” untuk pengurusan krisis dalam menghadapi pandemik Covid-19 dengan bertindak balas terhadap situasi ketika ia berkembang, dan bukannya meramalkan kemungkinan krisis yang mungkin timbul, kata seorang pakar pengurusan krisis.
Stuart Rosman Tan, yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan krisis berkata kebanyakan syarikat bernasib baik kerana cepat menyesuaikan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan mengutamakan keselamatan.
“Namun, ada banyak syarikat yang menganggapnya seperti SARS, MERS dan bahkan virus Nipah, yang akan hilang dan melihat kitaran hidupnya dalam jangka pendek serta beranggapan semuanya akan kembali normal,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.
“Syarikat Malaysia secara keseluruhan bertindak dengan baik dan cepat. Tetapi terlalu banyak syarikat masih dalam ‘mod reaktif’ ini. Mengikut arus, menunggu untuk mematuhi set SOP seterusnya dan hidup dengan harapan vaksinasi menjadi penyelesaian.”
“Apa yang perniagaan dan syarikat berskala besar hingga sederhana lupa adalah dalam pengurusan krisis, istilah ‘reaktif’ diterjemahkan menjadi ‘mod survival’.”
Tan, yang merupakan pengarah urusan Core Pro PR Services Sdn Bhd berkata ini adalah metodologi dan falsafah krisis lama.
Beliau berkata sama seperti kita menerapkan “norma baharu”, syarikat dan perniagaan juga harus menerima kenyataan pengurusan krisis juga mempunyai “norma baharu”.
Dan norma baharu untuk pengurusan krisis adalah “perancangan evolusi ramalan”, katanya.
Tan berkata beliau melihat banyak rancangan pengurusan krisis selama 16 bulan terakhir tetapi tidak ada rancangan evolusi ramalan.
Beliau berkata perancangan yang dilihatnya dibuat berdasarkan lima krisis yang berpotensi – kerosakan aset, kemalangan atau kematian di tempat kerja, gangguan perkhidmatan atau bekalan, sumber manusia dan masalah pematuhan.
“Dalam semua rancangan pengurusan krisis yang saya lihat, mereka mempunyai ‘langkah reaksi’, ‘Pelan B’ dan beberapa bentuk ‘Pemegang taruh/Komunikasi Media’ yang disiapkan dan disusun sebelumnya. Itu permulaan yang baik tetapi ini cara lama untuk menangani krisis,” katanya.
Beliau berkata dalam pengurusan krisis hari ini syarikat perlu berfikir 10 langkah ke depan. Dan dari itulah katanya, yang tiada pada perniagaan dan syarikat besar hingga sederhana di Malaysia.
“Tidak ramai yang secara proaktif cuba meramal apa yang akan terjadi selanjutnya dan bagaimana krisis ini akan berkembang, yang bermaksud mereka tidak membuat pelan C, D atau E, yang sepatutnya mereka lakukan,” kata Tan. – 4 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.