Iklan

Tajalah pendatang untuk terima vaksin, kata Hamzah

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago3rd Jun 2021Berita
Hamzah zainudin 20210603 tmihasnoor 009
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menggesa ahli Parlimen yang mengkritik penahanan Pati agar bantu golongan itu dapatkan dokumen.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Jun, 2021.
Iklan

AHLI Parlimen yang mahu membela hak pendatang asing tanpa izin (Pati) sepatutnya menaja individu terbabit bagi mendapat vaksin, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau menjawab kritikan disuarakan wakil rakyat terbabit ke atas tindakan jabatan kementeriannya menahan Pati untuk membolehkan golongan tersebut mendapat vaksin.

Hamzah berkata, tangkapan perlu dibuat kerana individu yang tidak memiliki dokumen sah termasuk rakyat Malaysia sendiri tidak boleh berdaftar untuk mendapatkan vaksin.

“Sebab itu kita lakukan ini untuk kebaikan rakyat, ahli-ahli parlimen yang perjuangkan mereka ini, taja mereka yang tidak ada dokumen, bawa mereka jumpa kita,” katanya.

Katanya, wakil rakyat seperti Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus yang menyuarakan kritikan itu sepatutnya membantu dengan membawa pendatang itu ke kedutaan.

“Contohnya Ustaz Hasanuddin dapatkan orang yang tidak mempunyai dokumen, datang dan berjumpa dengan kita, pergi ke kedutaan.

“Dapatkan dokumen dan kemudian kita akan memberi vaksin kepada mereka,” katanya dalam sidang media di Beranang.

Tambahnya, semua ahli Parlimen ini sepatutnya membantu usaha mencapai imuniti kelompok dengan memastikan pendatang itu mempunyai dokumen.

“Kita tidak mahu melihat pembawa virus ini datang dari mereka yang duduk tidak sah dalam negara. Susah nak daftar, ke pusat kuarantin susah. Menyulitkan semua perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai janji Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin untuk tidak menangkap Pati yang tampil untuk mengambil vaksin, Hamzah menegaskan perkara itu sudah dibincangkan.

“Dalam perbincangan dengan Khairy, saya mengatakan saya mahu mereka mempunyai penaja.

“Sekiranya mereka mempunyai majikan tetapi tidak ada dokumen, kita akan membantu mereka mendapatkan dokumen mereka melalui kedutaan masing-masing,” kata Hamzah.

Khairy pada 16 Februari lalu menegaskan jaminan ini sangat penting dalam mencapai imuniti kelompok.

Kritikan ke atas tangkapan itu disuarakan 15 ahli parlimen termasuk Timbalan Speaker Azalina Osman Said dan pakar penyakit berjangkit Prof Dr Adeeba Kamarulzaman.

Ia merupakan suara bipartisan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia untuk Memperbaharui Penjara dan Tempat Tahanan.

Kumpulan ini bimbang warga asing tanpa dokumen akan menolak untuk tampil diberi vaksin sekiranya mereka diancam dengan penangkapan dan kemungkinan dihantar pulang.

Dalam perkembangan yang sama, Hamzah berkata, seramai 78,530 daripada 97,891 pendatang asing tanpa izin sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Ia dilaksana menerusi program pelarasan bagi tempoh 21 Disember 2020 hingga 1 Jun lalu.

“Kira-kira 108,000 warga asing yang berdaftar kini dalam proses memohon mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Berdasarkan jumlah keseluruhan itu, lebih 200,000 warga asing di negara ini berjaya dikenal pasti menerusi Program Rekalibrasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Selain itu, seramai 5,009 majikan berdaftar dalam program ini yang mahu mengambil warga asing berdaftar untuk bekerja dengan mereka,” katanya.

Pelan pelarasan yang dilancarkan November lalu dilaksana JIM dengan kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi  lain tanpa pembabitan vendor atau pihak ketiga.

Program berkenaan terdiri daripada pendatang asing yang sedia ada digajikan atau masih belum digajikan oleh majikan.

Ia tertakluk kepada syarat seperti pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PKLS) dan pembantu rumah asing yang tinggal lebih masa pada atau sebelum 31 Disember 2020.

Satu lagi pelan pelarasan, Program Rekalibrasi Pulang bertujuan memberi peluang kepada pendatang asing yang tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.– 3 Jun, 2021.

Iklan
Iklan