Iklan

Syarat kaunseling bersemuka punca pelajar gagal tamat pengajian

Aminah Farid3 years ago4th Jun 2021Berita
50511977602 f1bd7c99e1 b
Pelajar berkata khidmat kaunseling secara atas talian lebih sukar berbanding bersemuka, dan ia menjejaskan motivasi terutama jika tidak ada perkembangan yang baik daripada pelanggan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2021.
Iklan

KEPUTUSAN Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) untuk mengiktiraf hanya jam kaunseling secara berdepan untuk pelajar sedang menjalani praktikum, memberi kesan domino kepada pelajar sarjana dan mereka yang memerlukan perkhidmatan itu.

Sebagai contoh, pelajar sarjana muda jurusan kaunseling dan bimbingan berkata mereka kini tidak akan dapat menamatkan pengajian dan memasuki pasaran pekerjaan.

Dan ini akan menyebabkan perkhidmatan kaunseling berkurangan ketika masalah kesihatan mental sedang meningkat, terutama akibat pandemik Covid-19.

Sebagai badan profesional yang mengawal selia pendaftaran dan lesen kaunselor, keputusan LKM itu, berdasarkan kepada alasan mengelak penularan virus, bermakna pelajar tidak dapat melengkapkan syarat 92 jam waktu kaunseling untuk tamat praktikal, walaupun melakukan sesi kaunseling secara atas talian.

Pelajar berkata keputusan itu berkuatkuasa sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu, dan sejak itu mereka dan pihak universiti membuat rayuan kepada LKM untuk mengiktiraf sesi atas talian dan memasukkan jumlah jam berkenaan dalam praktikum, tetapi tidak berjaya.

Pelajar, Yong Hui, 27, dari Petaling Jaya berkata beliau sudah melengkapkan semua syarat untuk menamatkan pelajaran kecuali jam kaunseling secara berdepan.

Walaupun sedar arahan larangan sesi berdepan dibuat demi keselamatan dan mencegah jangkitan virus, maka katanya, sangat penting untuk LKM mengiktiraf sesi atas talian.

“Saya sepatutnya tamat pengajian pada Julai tetapi nampaknya sekarang paling awal dapat habiskan pengajian iala Julai tahun depan.

“Jika sesi kaunseling atas talian masih tidak diiktiraf maka ia akan mengambil masa beberapa tahun lagi bergantung kepada situasi Covid-19 selain persaingan dalam kalangan pelajar kaunseling untuk mengumpul 92 jam,” kata pelajar universiti swasta di Petaling Jaya itu.

Berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana, Yong Hui berkata tekanan untuk tamat belajar dan mencari pekerjaan amat tinggi untuknya.

“Ibu bapa saya sudah bersara dan mereka masih menanggung saya dan adik yang masih belajar. Saya rasa bersalah.

“Dan kerana pekerjaan separuh masa bagi pelajar kaunseling tidak berdaftar seperti saya sangat sedikit dan hampir tiada, saya sedang mempertimbangkan untuk memohon pekerjaan yang tidak ada kena mengena dengan pengajian saya,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Susan, 25, yang juga sedang menjalani latihan praktikum berkata peluang untuk latihan amali di pusat kaunseling swasta dan organisasi bukan kerajaan amat terhad.

Walaupun beliau berjaya mendapat tempat untuk praktikal dengan jam bertemu secara berdepan, Susan bimbang dengan kesihatan dan keselamatannya dan keluarga.

Susan berkata kaunseling secara atas talian memang lebih sukar berbanding secara bersemuka, dan ia menjejaskan motivasi terutama jika tidak ada perkembangan yang baik daripada pelanggan.

Katanya, arahan LKM juga tidak adil terhadap mereka yang memerlukan khidmat kaunseling, dan datang kepada pelajar kaunseling kerana tidak mampu membayar perkhidmatan kaunselor professional.

Sebahagian pelanggan ada masalah kesihatan, atau ahli keluarga yang berisiko tinggi atau sedang menjalani kuarantin dan tidak dapat menghadiri sesi secara berdepan, sama ada kerana masalah kesihatan atau kewangan.

“Dengan tidak mengiktiraf jam sesi kaunseling secara atas talian oleh pelajar, ia juga menafikan hak planggan mendapatkan khidmat kaunseling terutama jika mereka tidak mampu membayar kadar biasa untuk bertemu ahli terapi berlesen,” kata Susan.

Pelajar kaunseling perlu memenuhi 192 jam waktu praktikum, iaitu 92 jam sesi secara berdepan dengan pelanggan, sementara baki 100 jam untuk latihan dan sesi pembelajaran. – 4 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan