Malaysia Airlines kurangkan operasi, tawar tempahan semula
Iklan
MALAYSIA Airlines menawarkan fleksibiliti tempahan semula kepada pelanggan memandangkan ia sedang mengurangkan operasi sebanyak 85% sepanjang perintah kawalan pergerakan penuh selama dua minggu yang akan berkuat kuasa sehingga 14 Jun ini.
Syarikat penerbangan kebangsaan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia akan terus mengendalikan perjalanan penting domestik dan antarabangsa serta kargo.
“Memandangkan impak sekatan perjalanan terhadap pelanggan, Malaysia Airlines hari ini mengumumkan lanjutan fleksibiliti pemesanan semula perjalanan, menawarkan pelanggan tempoh sah sehingga 31 Disember 2022 dengan perbezaan tambang satu kali dan pengecualian bayaran perkhidmatan,” katanya.
“Pelanggan layak kini boleh memesan semula perjalanan mereka pada atau sebelum 30 Jun 2022 agar perjalanan boleh diteruskan pada atau sebelum 31 Disember 2022.
“Malaysia Airlines sebelum ini menawarkan fleksibiliti kepada pelanggan untuk memesan semula perjalanan mereka pada atau sebelum 30 Jun 2021 agar perjalanan dapat dibuat pada atau sebelum 31 Disember 2021. Pelanggan boleh merujuk nasihat perjalanan penerbangan yang terdapat di laman web rasminya untuk maklumat lebih lanjut,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata lonjakan kes Covid-19 di Malaysia mendorong syarikat penerbangan itu mengutamakan keselamatan penumpang dan pekerjanya.
“Dengan pelanggan perhatian utama, kami berharap kelonggaran pemesanan perjalanan yang dilanjutkan tanpa mengira tambang kelas akan memberikan kepastian dan ketenangan tiket mereka tetap terpakai untuk perjalanan di masa depan dengan kami,” katanya.
Katanya, Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings terus memainkan peranan memastikan kemudahan untuk Malaysia melalui perkhidmatan komersial dan carter sejak PKP 1.0 yang dikuatkuasakan pada Mac 2020.
“Sejak April 2020, kami telah berjaya menjalankan lebih 350 penerbangan penyelamatan dan pemulangan menggunakan pesawat A380, A350, A330 dan B737 milik Malaysia Airlines sementara MABkargo mengendalikan lebih 1,600 penerbangan penumpang-ke-kargo (P2C) sejak Mac 2020, membawa lebih 30,000 tan barang-barang bantuan di rangkaian kargo globalnya bagi memastikan rantaian bekalan global dikekalkan,” katanya.
Sementara itu, MHholidays, cabang pelancongan Malaysia Airlines, kini menawarkan pakej kuarantin di hotel yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, bagi mereka yang terbang ke Malaysia dari luar negara. Perkhidmatan ini dilengkapi dengan layanan premium termasuk pengangkutan percuma.
Jumlah minimum malam yang diperlukan untuk penginapan kuarantin adalah tujuh malam dan tempahan boleh dibuat secara dalam talian.
Penumpang yang ingin menempah semula perjalanan mereka boleh berbuat demikian di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi pusat panggilan di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia). – 4 Jun, 2021.