Jumlah kumulatif kes Covid-19 lepasi 600,000
Iklan
JUMLAH kumulatif kes Covid-19 mencecah 600,000 hari ini selepas negara melaporkan 7,748 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes Covid-19 kini sebanyak 603,122.
Selangor mendahului dengan 2,612 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 851 kes.
Bagi negeri lain, terdapat 286 kes di Kelnatan, 706 di Sarawak, 287 di Sabah, 446 di Johor, 376 di Pulau Pinang, 709 di Negeri Sembilan, 371 di Perak, 263 di Kedah, 234 di Melaka, 146 di Pahang, 230 di Labuan dan 203 di Terengganu.
Putrajaya dan Perlis menyaksikan jumlah kes paling sedikit dengan 20 serta lapan kes dilaporkan.
Sementara itu selepas 100 hari menjayakan program imunisasi, sejumlah 1,122,420 individu sudah menyelesaikan dua dos vaksin pada 3 Jun, menyaksikan peningkatan sebanyak 7,736 berbanding 1,114,684 yang dilaporkan Rabu lalu.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menerusi Twitter hari ini berkata seramai 2,208,016 individu menerima dos pertama vaksin menjadikan jumlah dos dikeluarkan di negara ini sebanyak 3,339,436 setakat semalam.
Beliau berkata, lima negeri dengan jumlah vaksinasi dua dos tertinggi adalah Selangor dengan 145,636 dos diikuti oleh Sarawak (116,399), Perak (105,302), Kuala Lumpur (101,249) dan Johor (97,983).
Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dari Februari sehingga April tahun ini melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan termasuk kakitangan kesihatan.
Fasa kedua dari April sehingga Ogos akan melibatkan 9.4 juta orang terdiri daripada warga emas, kumpulan berisiko tinggi dan orang kurang upaya sementara fasa ketiga dari Mei hingga Februari 2022 melibatkan mereka berusia 18 tahun ke atas termasuk warga negara dan bukan warganegara berjumlah kira-kira 13.7 juta. – 4 Jun, 2021.