Iklan

Usah ambil ringan gejala selesema, batuk, kata pakar

Ragananthini Vethasalam3 years ago5th Jun 2021Berita
Screening test (2)
Individu yang mengalami gejala selesema dan batuk perlu menjalani ujian Covid-19 berikutan kes sporadik yang semakin meningkat, kata pakar kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.
Iklan

INDIVIDU yang mengalami gejala selesema dan batuk dinasihatkan menjalani ujian Covid-19 berikutan kes sporadik yang semakin meningkat, gesa pakar kesihatan.

Ini kerana menurut Kementerian Kesihatan, kira-kira 80% kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan sejak Mei membabitkan kes sporadik.

Kes sporadik adalah adalah kes-kes positif Covid-19 yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster atau sebarang sumber, dan berlaku secara rawak.

Kes sporadik berlaku sebagai satu petunjuk bahawa penyakit itu sudah menular dalam masyarakat.

Meski tiada angka spesifik mengenai jumlah sebenar kes sporadik yang dilaporkan sejak 1 Mei, namun dianggarkan mungkin terdapat 140,000 kes sporadik telah dilaporkan sejak itu.

Pakar Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata peningkatan kes sporadik perlu dipandang serius dan orang ramai dinasihatkan menjalani ujian Covid-19 jika mengalami gejala seperti influenza.

“Dengan peningkatan kes sporadik dalam masyarakat, kita perlu mengandaikan anda apabila mengalami gejala seperti selesema ia mungkin gejala Covid-19, jadi anda perlu segera jalani ujian dan asingkan diri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

“Kita perlu menggalakkan orang ramai menjalani ujian.”

Dr Chee percaya peningkatan kes sporadik mungkin berpunca daripada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang lemah.

Pakar epidemiologi dari UPM Prof Madya Dr Malina Osman juga senada dengan Dr Chee, iaitu individu yang mengalami gejala seperti selesema dan batuk perlu menjalani ujian Covid-19 walaupun tidak terdedah kepada jangkitan.

“Pada pandangan saya, walaupun tidak pernah menjadi kontak kepada mana-mana individu yang positif Covid-19, namun jangkitan mungkin berpunca dari pelanggaran SOP.

“Dalam keadaan di mana kebanyakan orang tidak serius mematuhi SOP, jangkitan mungkin disebarkan oleh sesiapa sahaja tanpa disedari,” katanya.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight pada 14 Mei lalu, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, yang mengetuai Selangor Task Force Covid-19 (STFC), berkata 80% daripada kes di Selangor berpunca daripada kes sporadik. 

Selangor masih kekal negeri yang mencatat lebih 2,000 kes Covid-19 setiap hari. Angka tertinggi direkodkan pada Khamis lalu, dengan lebih 3,000 kes.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini berkata kira-kira 60% daripada keseluruhan kes Covid-19 sejak Januari hingga Mei, dilaporkan tiada punca jangkitan atau tidak diketahui puncanya.

Sehingga 25 April, sebanyak 170,173 kes sporadik dilaporkan dalam negara.

Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 65,215 kes, disusuli Kuala Lumpur (19,834) dan  Johor (17,934). – 5 Jun, 2021.

Iklan
Iklan