109 kematian Covid-19, 886 di ICU
Iklan
JUMLAH kes kematian harian akibat Covid-19 sekali lagi merekodkan tiga digit hari ini selepas 109 orang dilaporkan maut.
Kes kematian hari ini juga merupakan yang kedua tertinggi sejak pandemik bermula, selepas kes tertinggi direkodkan pada 2 Jun dengan 126 kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka kematian terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,291.
Sementara itu, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi turut meningkat iaitu 886 orang.
Sejumlah 446 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, jumlah kes aktif seluruh negara turut meningkat kepada 85,607 selepas 7,452 kes jangkitan baharu dilaporkan berbanding 6,105 kes sembuh dalam tempoh 24 jam lalu.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kepada 521,676.
Sembilan kes kematian di luar hospital turut dilaporkan hari ini.
Mangsa paling tua adalah wanita berumur 98 tahun yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. Wanita berkenaan mempunyai sejarah penyakit tekanan darah tinggi dan Dislipidemia.
Sementara itu, mangsa paling muda adalah lelaki berusia 27 tahun yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur. Mangsa juga menghidap diabetis, tekanan darah tinggi dan obesiti.
Selangor merekodkan kes kematian tertinggi dengan 33 kes, diikuti Johor dengan 22 kes.
Negeri Sembilan melaporkan sembilan kes manakala Kuala Lumpur 12 kes.
Kelantan merekodkan enam kes manakala Kedah dan Melaka masing-masing merekodkan lima kematian.
Perak mencatatkan empat kematian manakala Labuan tiga kes kematian.
Sementara itu, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang masing-masing melaporkan dua kematian manakala Terengganu dan Putrajaya masing-masing mencatatkan satu kes kematian. – 5 Jun, 2021.