Iklan

10 juta mesti divaksin segera, gesa pakar

Ragananthini Vethasalam3 years ago7th Jun 2021Berita
Vaccination covid-19 20210516 tmihasnoor 020 (1)
Pakar kesihatan berkata sekurang-kurangnya 40% penduduk perlu ada tahap imuniti terhadap virus Covid-19 dalam tempoh tiga bulan akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.
Iklan

SEKURANG-kurangnya 10 juta rakyat Malaysia perlu divaksinasi dalam tempoh tiga bulan ini bagi menurunkan kadar kebolehjangkitan (Rt) ke bawah 1, sekali gus mengekang jumlah kematian dari mencapai 26,000 pada September, kata pakar kesihatan.

Pakar Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata sekurang-kurangnya 40% penduduk perlu ada tahap imuniti terhadap virus SARS-CoV-2 atau Covid-19 dalam tiga bulan mendatang.

Berdasarkan data terkini, beliau berkata sekurang-kurangnya 6.8% telah mendapat imuniti melalui vaksinasi sementara 1.8% lainnya melalui jangkitan semula jadi.

“Kita tak mahu naikkan tahap imuniti melalui jangkitan semula jadi. Bukan itu yang kita mahu kerana akan menyebabkan lebih ramai orang dijangkiti selain perlukan rawatan perubatan,” katanya.

“Satu-satunya cara untuk meningkatkan imuniti adalah melalui vaksinasi.”

Dr Chee mengulas kenyataan ahli majlis sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Prof Dr Adeeba Kamarulzaman baru-baru ini bahawa angka kematian Covid-19 di Malaysia bakal cecah 26,000 menjelang September berdasarkan ramalan trajektorinya.

Dr Adeeba memetik kajian Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) University of Washington di Amerika Syarikat, yang menganggarkan 200 orang sehari mungkin maut akibat virus pada akhir Ogos.

Dr Chee berkata, jika kerajaan dapat memvaksinasi lebih dari 200,000 orang sehari dengan sekurang-kurangnya satu dos, maka jumlah populasi yang divaksinasi akan melebihi 40%.

Beliau turut memohon tubuhkan lebih banyak pusat vaksinasi dan lebih ramai sukarelawan direkrut bagi mempercepatkan proses.

“Pendekatan melalui pandu lalu langkah yang baik tetapi kita juga harus mempertimbangkan mereka yang berada di luar bandar. Sepatutnya ada lebih banyak pusat vaksinasi di luar bandar,” katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, vaksinasi sepatutnya perlu cecah 200,000 hingga 300,000 setiap hari.

Katanya ini sangat penting kerana hospital terutama di Lembah Klang telah mencapai tahap maksimum.

Menurut fakta dikeluarkan kerajaan, negara telah menerima 5.62 juta dos vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula.

Seratus hari selepas PICK mula, lebih 3.3 juta dos vaksin telah diberikan dengan 1.12 juta orang telah lengkap dua dos vaksinasi.

Tahap vaksinasi harian juga telah melebihi 100,000 dan kerajaan kini berusaha meningkatkan dos harian kepada 200,000 pada 31 Julai.

Garis Masa PICK:

21 Februari: Malaysia terima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech.

24 Februari: PICK bermula dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham menjadi penerima vaksin pertama.

27 Februari: Malaysia terima 200 liter vaksin dari syarikat Sinovac di Beijing, cukup untuk menghasilkan 300,000 dos vaksin. Pharmaniaga Life Sciences akan membuat pembungkusan produk.

2 Mac: Sinovac dan AstraZeneca dapat lampu hijau untuk digunakan waktu kecemasan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

18 Mac: Malaysia mula beri vaksin Sinovac dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menjadi penerima pertama.

2 April: 500,000 barisan hadapan telah divaksinasi di bawah PICK.

12 April: Sebanyak 1,018,937 dos telah diberikan. Fasa 2 PICK bermula.

20 April: Janji temu Fasa 2 NIP diumumkan.

23 April: Kumpulan pertama AstraZeneca dari Covax, merangkumi 268,800 dos tiba di Malaysia. – 7 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan